Pekerja Korea Utara di China dilayan seperti hamba

Pekerja Korea Utara di China dilayan seperti hamba

PEKERJA di sebuah kilang kabel elektrik di Korea Utara. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Beberapa warga Korea Utara yang bekerja di China didakwa dieksploitasi seperti hamba menerusi satu laporan berita baru-baru ini.

Bulan lalu, muncul laporan bahawa warga Korea Utara yang bekerja di China merusuh selepas mengetahui tidak akan dibayar sebarang upah sebaliknya gaji mereka akan digunakan membina senjata untuk Pyongyang.

Menurut BBC, rusuhan tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap kesejahteraan puluhan ribu rakyat Korea Utara yang bekerja di luar negara demi untuk menyalurkan wang kepada kerajaan mereka yang dikatakan sudah kehabisan wang.

Seorang bekas pekerja Korea Utara di China yang ditemu bual BBC mendakwa, mereka yang bekerja di beberapa syarikat berprestasi rendah tidak menerima bayaran selepas gaji mereka disekat.

Terdapat juga pekerja negara itu yang mendakwa mereka sedang dieksploitasi seperti hamba.

Menurut bekas diplomat Korea Utara, Ko Young Hwan, rusuhan tercetus di beberapa kilang pakaian kendalian Korea Utara di timur laut China pada 11 Januari lalu.

Beliau mendakwa mendengar pekerja mengamuk apabila mereka mengetahui  gaji yang tidak dibayar selama bertahun-tahun sudah dipindahkan ke dana persediaan perang di Pyongyang.

“Mereka bertindak ganas dan mula memecahkan mesin jahit serta peralatan dapur. Ada juga yang mengunci pegawai Korea Utara di dalam bilik dan menyerang mereka,” katanya.

Isu serupa turut dikongsi Penyelidik Kanan Badan Pemikir Institut Penyatuan Nasional Korea (KINU) yang dibiayai kerajaan Korea Selatan, Cho Han-beom, yang turut memetik sumber di China.

Beliau percaya seramai 2,500 pekerja dari 15 kilang di wilayah Jilin mengambil bahagian dalam pertikaian itu yang disifatkan sebagai bantahan terbesar dalam sejarah Korea Utara.

“Ramai pekerja ini keletihan dari segi psikologi dan fizikal selepas bekerja di luar negara sekian lama tanpa dibayar gaji dan mahu pulang ke rumah,” katanya.

Dianggarkan 100,000 warga Korea Utara ditempatkan di luar negara, kebanyakannya di kilang dan tapak pembinaan di timur laut China, yang dikendalikan oleh kerajaan Korea Utara.

Pekerja tersebut dipercayai memperoleh mata wang asing  yang dianggarkan berjumlah 586 juta pound (RM3.5 bilion) antara 2017 dan 2023 namun kebanyakan pendapatan itu dipindahkan terus ke Pyongyang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN