BAGHDAD: Serangan udara Amerika Syarikat (AS) di Iraq membunuh seorang komander kanan dari kumpulan bersenjata pro-Iran yang didakwa terlibat dalam serangan ke atas tentera Washington di rantau itu.
Washington melancarkan gelombang serangan ke atas sasaran berkaitan Iran di Iraq dan Syria minggu lalu ekoran pembunuhan tiga tenteranya di Jordan pada 28 Januari lalu.
Komander Pusat AS (CENTCOM) berkata, komander yang dibunuh Rabu lalu disasarkan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas anggota perkhidmatan AS.
Serangan itu membunuh seorang komander kumpulan Kataeb Hezbollah yang bertanggungjawab secara langsung merancang dan mengambil bahagian dalam serangan ke atas tentera AS di rantau itu.
“AS akan terus mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi rakyat kami. Kami tidak akan teragak-agak untuk bertanggungjawab kepada semua pihak yang mengancam keselamatan tentera kami,” tambahnya.
Seorang anggota Kataeb Hezbollah yang mengumumkan sudah menangguhkan keganasan terhadap tentera AS selepas serangan maut di Jordan mengesahkan komander yang bertanggungjawab bagi fail tentera di Syria terbunuh, mengenal pasti beliau sebagai Abu Baqr al-Saadi.
Hashed al-Shaabi, pakatan separa tentera pro-Iran yang kini diintegrasikan ke dalam pasukan keselamatan tetap Iran turut mengesahkan kematian Abu Baqr dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kementerian dalam negeri berkata, seramai tiga orang, dua pemimpin Kataeb Hezbollah dan pemandu mereka maut dalam serangan itu yang dilakukan oleh dron di kawasan kejiranan Machtal di timur Baghdad.
Bertindak balas terhadap kematian komander itu, satu lagi pergerakan pro-Iran, Al-Nujaba Iraq dalam satu kenyataannya menjanjikan tindak balas yang bersasar bagi memastikan jenayah itu tidak terlepas daripada hukuman.
Kumpulan itu menambah bahawa serangan terhadap AS tidak akan berhenti tanpa pendirian rasmi yang kukuh daripada kerajaan Iraq.-AFP











