PERTH: Sebuah kapal yang membawa 16,000 biri-biri dan lembu terkandas di luar pantai Australia selepas pihak berkuasa mengarahkan kapal milik Israel yang mengangkut kargo hidup itu berpatah balik kerana bimbang menjadi sasaran pemberontak Houthi di Laut Merah.
MV Bahijah berlayar dari Fremantle menuju ke Israel pada 5 Januari lalu membawa bekalan daging yang dihantar dari Australia ke Asia Barat setiap tahun.
Namun kerajaan mengarahkan kapal itu kembali ke Australia pada 20 Januari lalu dan berlabuh di Perth semalam.
Cuaca panas melampau menambah tekanan kepada kerajaan Australia untuk memutuskan sama ada mengeksport semula atau menurunkan haiwan itu selepas lebih tiga minggu di laut.
Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan berkata, doktor haiwan yang memeriksa keadaan kambing biri-biri dan lembu di atas kapal itu tidak menemui sebarang kebimbangan kesihatan, kebajikan atau alam sekitar yang ketara.
Kerajaan berkata, peraturan biosekuritinya antara yang paling sukar demi memastikan negara itu bebas daripada banyak perosak dan penyakit paling invasif di dunia.
Namun negara itu masih belum membuat keputusan untuk menurunkan haiwan-haiwan berkenaan walaupun terdapat gesaan daripada aktivis berikutan keadaan cuaca terik yang mencecah 40 darjah Celsius.
Insiden itu turut menyerlahkan kesan meluas serangan kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran ke atas kapal-kapal di Laut Merah.
Kumpulan itu mula menyerang kapal kargo sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel di Gaza dan menegaskan mereka hanya menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel.
April lalu, New Zealand mengharamkan eksport haiwan hidup selepas insiden kapal karam yang menyaksikan beribu-ribu lembu mati lemas.-AGENSI










