Berjuta-juta guru di China berisiko hilang kerja

Berjuta-juta guru di China berisiko hilang kerja

KERJAYA guru tidak lagi dianggap sebagai pekerjaan stabil disebabkan kemerosotan dalam kadar kelahiran. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kerjaya guru dianggap sebagai salah satu pekerjaan paling stabil di China.

Malah, profesion perguruan juga pernah menjadi pilihan sangat popular dalam kalangan pencari kerja tempatan terutamanya dalam era ekonomi yang tidak menentu. 

Namun, kini, kerjaya guru tidak lagi boleh dianggap pekerjaan stabil pada tahun-tahun akan datang memandangkan kemerosotan dalam kadar kelahiran yang membawa kepada lebihan guru di republik itu.

Berjuta-juta guru dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Dengan jumlah pesara semakin meningkat dan bilangan bayi baru lahir yang menjunam, China sedang melalui peralihan demografi yang mempunyai implikasi besar termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan dan sistem keselamatan sosial yang tegang.

Jumlah bayi baru lahir di China semakin merosot sejak 2017, dengan kadar kelahiran berkurangan lebih 500,000 tahun lalu kepada kira-kira sembilan juta.   

Menurut Kementerian Pendidikan, bilangan kanak-kanak bersekolah tadika menyaksikan penurunan pertama dalam tempoh dua dekad pada 2021.

Bilangan pelajar sekolah rendah juga mengalami penurunan pada 2022, buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

“Dengan jumlah pelajar yang semakin berkurangan, sudah pastinya akan berlaku pemberhentian kerja di sekolah pada tempoh atau daerah tertentu,” kata penyelidik kanan di Akademi Sains Pendidikan Kebangsaan China, Chu Zhaohui.

Bagaimanapun, kata beliau, tahap impaknya sebahagian besar bergantung kepada tindakan pihak berkuasa pada tahun-tahun akan datang.

“Berdasarkan kajian lapangan saya, disebabkan beban kewangan mereka, kerajaan tempatan akan mengambil bilangan guru yang rendah pada tahun ini,” katanya. 

Sebelum ini, Jabatan Pendidikan wilayah Hunan pada November lalu mengeluarkan arahan menggesa peruntukan pendidikan yang lebih baik bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk kadar kelahiran dan urbanisasi.

Selama beberapa dekad lalu, sekolah di China sesak dengan kanak-kanak dengan kapasiti 50 pelajar dalam satu kelas di sebahagian besar di bandar dan sekitar 30 di kebanyakan kawasan luar bandar.    

Sekiranya kapasiti kelas kekal pada tahap sama, maka para penyelidik berpandangan terdapat lebihan 1.5 juta guru sekolah rendah dan 370,000 guru sekolah menengah menjelang 2035. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN