TOKYO: Satu upacara paling aneh di Jepun yang dikenali sebagai pesta `lelaki berbogel’ dilaporkan berakhir selepas dianjurkan selama lebih 1,000 tahun.
Menurut pihak penganjur, upacara tahunan itu terpaksa ditamatkan berikutan jumlah penduduk yang semakin berkurangan di kawasan itu.
Lapor UPI News, upacara dikenali sebagai perayaan ‘Sominsai’ melibatkan ratusan lelaki separa bogel yang memakai cawat berkumpul di Kuil Kokuseki di Oshu.
Lelaki berkenan akan berebut beg azimat sebagai penamat ritual sambil melaungkan ‘jasso, joyasa’ (‘jahat, pergilah’) yang bergema di wilayah Iwate di utara Jepun.
Perayaan itu diadakan setiap tahun pada hari ketujuh Tahun Baharu Lunar.
Dalam pada itu, ketua sami Kuil Kokusekiji, Daigo Fujinami memaklumkan perayaan tahun ini adalah terakhir diadakan di tempat ibadat itu.
“Keputusan ini disebabkan faktor usia individu yang terlibat dalam perayaan terbabit dan kekurangan pengganti.
“Pelbagai usaha dilakukan untuk meneruskan perayaan itu dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan gangguan pada saat terakhir pada masa hadapan.
“Namun, keputusan untuk menamatkan perayaan itu sendiri sudah dilakukan,” kata Daigo di laman sesawang kuil berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan bernama Toshiaki Kikuchi berharap agar upacara itu akan kembali pada masa hadapan.
“Walaupun dalam format yang berbeza, saya berharap dapat mengekalkan tradisi ini. Terdapat banyak perkara yang anda boleh hargai jika anda mengambil bahagian,” katanya.
Ramai peserta dan pengunjung menyuarakan kesedihan mengenai pengakhiran festival.










