Assam mansuh undang-undang perkahwinan Islam

Assam mansuh undang-undang perkahwinan Islam

PENDUDUK berjalan melepasi sebuah tuk tuk di daerah Dhubri, Assam di India. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUWAHATI: Negeri Assam di India dilaporkan memansuhkan undang-undang berusia 89 tahun yang membenarkan perkahwinan membabitkan penduduk Islam bawah umur.

Langkah itu ditentang oleh pemimpin komuniti minoriti yang menggelar rancangan itu sebagai percubaan untuk mempolarisasi pengundi atas dasar agama menjelang pilihan raya umum.

Populasi Assam merangkumi 34 juta penduduk dengan 34 peratus daripadanya adalah komuniti beragama Islam.

Sebelum ini, Assam memaklumkan mahu melaksanakan undang-undang sivil yang seragam untuk perkahwinan, penceraian, pengambilan anak angkat dan pewarisan sepertimana dilakukan oleh negeri Uttarakhand pada awal bulan ini.   

Di seluruh India, penduduk beragama Hindu, Islam, Kristian dan kumpulan lain mengikut undang-undang dan adat mereka sendiri atau kod sekular untuk perkara berkenaan.

Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi sebelum ini menjanji untuk melaksanakan Kanun Sivil Seragam yang dibantah oleh penduduk Islam.

Ketua Menteri Himanta Biswa Sarma menerusi aplikasi X memaklumkan Assam mula memansuhkan Akta Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian Islam Assam 1935 berkuat kuasa 24 Februari lalu.

“Akta ini mengandungi peruntukan yang membenarkan pendaftaran perkahwinan walaupun pasangan pengantin belum mencapai umur sah 18 dan 21 tahun.

“Langkah ini menandakan satu lagi pendekatan penting ke arah melarang perkahwinan kanak-kanak di Assam,” katanya.

Ketika ditanya sama ada negeri timur laut itu akan melaksanakan Kanun Sivil Seragam sebelum pilihan raya umum pada Mei depan, Himanta memaklumkan pihaknya akan tidak akan melakukan dalam masa terdekat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN