GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 28,064 penduduk Palestin terbunuh akibat pengeboman Israel di Gaza.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza menerusi kenyataan.
Menurut kementerian, angka korban terbaharu itu turut membabitkan 117 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Jelas kementerian, sekurang-kurangnya 67,611 orang mengalami kecederaan di Gaza sejak perang antara Israel dan Hamas meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Agensi berita WAFA melaporkan sekurang-kurangnya 29 orang awam terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan bahagian tengah dan selatan Gaza.
Ia berlaku ketika pencerobohan kejam Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-127.
Sumber kesihatan memaklumkan kebanyakan mangsa serangan Israel terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.
Pesawat Israel melancarkan serangan ke atas beberapa rumah di Rafah, selatan Gaza menyebabkan 25 nyawa penduduk Palestin terkorban.
Rejim Zionis itu turut menyasarkan pantai Deir al-Balah di tengah Gaza dan mengakibatkan kematian seorang nelayan dan kecederaan pada individu lain. – AGENSI/AFP











