ANTARTIKA: Seekor penguin putih yang jarang ditemui dikesan di pangkalan saintifik di Antartika dan kelihatan paling menonjol dalam kalangan kelompok besar spesies haiwan tersebut yang berwarna hitam dan putih.
Lapor CBS News, burung yang tergolong dalam spesies Gentoo itu, ditemui oleh penyelidik di pangkalan Gabriel González Videla pada 4 Januari lalu.
Seluruh tubuh penguin betina itu kebanyakannya berwarna putih akibat mutasi genetik dikenali sebagai leucism, keadaan yang disebabkan oleh kehilangan sebahagian pigmentasi berwarna hitam pada bulu haiwan tersebut.
“Walaupun terdapat sedikit pigmentasi, ia tidak terdapat pada keseluruhan tubuhnya. Pernah terjadi kes mutasi seperti ini dalam spesies lain, termasuk zirafah, buaya, ikan paus dan bison.
“Tidak seperti albinisme yang menjejaskan semua pengeluaran melanin, leucism tidak memberi kesan kepada sel pigmen di mata,” kata Doktor Haiwan, Dr. Diego Penaloza.
Menurut Penazola, keadaan itu masih boleh membahayakan penguin berkenaan.
“Dalam kes ini, sebagai haiwan yang kebanyakannya berbadan putih, ia kelihatan lebih menonjol dan boleh memudahkan pemangsa untuk memburunya. Itulah sebabnya kes leucism juga sangat jarang berlaku” tambahnya.
Menurut Program Antartika Australia Penguin Gentoo ialah spesies penguin ketiga terbesar dengan saiz dewasa antara kira-kira 4.9 hingga 7.7 kilogram.