CILEGON: Sebuah acara perkahwinan di Cilegon mencuri perhatian warga net di laman TikTok selepas pasangan pengantin menerima hadiah lumayan yang diserahkan pada majlis tersebut.
Video yang dimuat naik akaun TikTok @nyimaslisaoktariani berkongsi detik pengantin menerima hadiah berupa sebuah kereta Pajero Sport dan ladang kelapa sawit seluas satu hektar.
“Kelihatan pasangan pengantin yang berpakaian serba putih di pintu masuk ke dewan perkahwinan.
“Kemudian terdapat sebuah kereta Pajero Sport berwarna hitam yang dihiasi dengan reben sebagai hadiah kepada pasangan pengantin.
“Bukan sahaja kereta, pasangan pengantin turut menerima sijil berupa ladang kelapa sawit seluas satu hektar berbingkai kemas. Detik pemberian itu segera diabadikan oleh jurugambar,” jelas video itu.
Portal Wolipop yang menghubungi pemilik akaun Tik Tok berkenaan mengesahkan majlis tersebut berlangsung di Hotel The Royale Krakatau, Cilegon, Banten.
Video berkenaan menerima lebih 561.5 ribu tontonan dan mendapat pelbagai reaksi warga net yang rata-rata mendoakan kebahagian pasangan tersebut selain mengharap hadiah lumayan serupa ketika majlis perkahwinan mereka.










