Afrika Selatan cuba henti lelongan barang peribadi Mandela

Afrika Selatan cuba henti lelongan barang peribadi Mandela

NELSON MANDELA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRETORIA: Kerajaan Afrika Selatan sedang cuba menghentikan satu acara lelong kontroversi membabitkan 70 barangan peribadi milik pejuang anti-apartheid terkenal, mendiang Nelson Mandela.   

Antara barangan peribadi kepunyaan bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan itu merangkumi sepasang alat bantu pendengaran, kad pengenalan, hadiah dari pemimpin dunia dan beberapa pakaian termasuk baju kemeja Madiba. 

Lapor BBC, anak perempuan Mandela, Makaziwe Mandela melelong barangan berkenaan di Amerika Syarikat (AS).   

Namun, kerajaan Afrika Selatan menegaskan barangan tersebut adalah milik negara.

Di bawah undang-undang Afrika Selatan, sebarang barang yang dianggap sebagai warisan negara tidak boleh dibawa keluar dari negara.  

Sehubungan itu, Agensi Sumber Warisan Afrika Selatan (Sahra) memaklumkan pihakya memfailkan rayuan di mahkamah untuk menghalang lelongan barang milik mendiang Mandela.  

Sahra merupakan badan kerajaan yang bertanggungjawab melindungi sejarah dan budaya Afrika Selatan.

Rayuan difailkan Sahra turut disokong oleh Kementerian Sukan, Kesenian dan Kebudayaan Afrika Selatan.

Sementara itu, Menteri Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Zizi Kodwa menyatakan pihaknya menyokong penuh kes berkenaan `demi memelihara kekayaan warisan negara’.

Katanya, usaha menghalang penjualan barang berharga itu harus dilakukan memandangkan Mandela adalah `amat penting kepada warisan Afrika Selatan’.       

“Oleh itu, adalah penting bagi kami memelihara warisan bekas Presiden Mandela dan memastikan barang berkaitan pengalaman kerja hidup mendiang kekal berada di negara ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Afrika Selatan menentang lelongan itu apabila pertama kali diumumkan pada 2021, dengan menegaskan beberapa barang yang mahu dijual adalah artifak negara.

Susulan itu, acara lelong awal yang dijadualkan pada 2022 dibatalkan dan kes undang-undang itu sudah berlangsung selama dua tahun.        

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi di Pretoria memberi kebenaran kepada Makaziwe untuk menjual barangan peribadi bapanya, sekali gus menolak hujah kerajaan bahawa ia merupakan warisan negara.  

Menurut Kodwa, lelongan itu tidak sepatutnya diteruskan kerana Sahra dan kementeriannya pada bulan lalu sudah memfailkan permohonan untuk merayu terhadap penghakiman mahkamah tinggi tersebut.

Acara lelong itu dijadualkan bermula esok namun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada petisyen rayuan difailkan kerajaan akan menghentikannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya