MANILA: Seorang lelaki hilang dan beribu-ribu penduduk Filipina berlindung di pusat pemindahan ketika ribut tropika Jelawat membadai pulau besar di selatan Mindanao.
Situasi itu menyebabkan banjir, selain bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.
Walaupun ribut itu menjadi semakin lemah apabila melanda Mindanao selepas mendarat pada waktu pagi, namun perkhidmatan cuaca negeri menyatakan amaran risiko banjir dan tanah runtuh masih dikekalkan.
Polis di perbandaran Manay memaklumkan seorang lelaki hilang di Sungai Casaoman yang membahagikan dua bandar pesisir pantai yang mempunyai kira-kira 40,000 orang.
“Penduduk tempatan itu mengendahkan amaran dan pergi mengutip kelapa yang terapung di sungai.
“Kami percaya individu itu dihanyutkan arus deras sungai,” kata pemangku ketua polis Manay, Meliton Sango.
Menurut pegawai itu, dua kawasan di Manay dinaiki air setinggi paras lutut akibat limpahan air sungai.
Pejabat pertahanan awam di Manila melaporkan dua rumah di Cortes rosak, sebuah bandar di pantai timur Mindanao bersama tiga lagi bandar lain terputus bekalan elektrik.
Terdahulu, seramai 11,729 penduduk sudah dipindahkan dari pantai timur dan utara Mindanao sebagai langkah berjaga-jaga.
Kesemua penduduk berkenaan dinasihatkan untuk kekal berada di pusat perlindungan buat masa ini. – AFP










