SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan peruncit dan farmasi di republik itu mempunyai bekalan kit Ujian Rapid Antigen (ART) Covid-19 yang mencukupi.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah peningkatan jumlah kes koranavirus di negara itu.
Menurut kementerian, pihaknya menyedari peningkatan permintaan untuk kit ART.
“Semakan kami menunjukkan peruncit dan farmasi mempunyai bekalan yang mencukupi dan sedang mengisi semula stok di premis mereka.
“Tempahan tambahan juga sedang dilakukan untuk memenuhi permintaan,” jelas kementerian yang menjawab pertanyaan media.
Kementerian itu memaklumkan pihaknya juga menyimpan bekalan kit ART dan akan menggagihkannya untuk menyokong para peruncit jika perlu.
“Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya membeli kit ART dalam kuantiti mencukupi hanya untuk keperluan segera mereka dan bukannya untuk menimbun bekalan,” jelasnya.
Sementara itu, jurucakap peruncit kesihatan dan kecantikan Guardian memberitahu penjualan pelitup muka dan kit ART meningkat sebanyak 50 peratus sejak dua minggu lalu.
Kata Guardian, terdapat juga ‘peningkatan ketara’ dalam permintaan untuk ubat selesema.
“Guardian bekerjasama dengan pembekal untuk memastikan kedai kami mempunyai barangan seperti pelitup muka, kit ART, demam, batuk dan ubat selesema yang mencukupi,” jelasnya.
Jurucakap pasar raya Sheng Siong memaklumkan terdapat ‘lonjakan ketara’ dalam permintaan, dengan penjualan pelitup muka dan ubat selesema meningkat sebanyak 50 peratus sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Tambahnya, jualan kit ART juga meningkat lebih daripada 20 peratus. – AGENSI










