Kualiti udara Bangkok makin buruk

Kualiti udara Bangkok makin buruk, ibu bapa dinasihat tidak bawa anak kecil keluar

TAHAP pencemaran udara yang tinggi di kebanyakan kawasan di sekitar Bangkok. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Jabatan Perkhidmatan Perubatan Thailand menasihatkan para ibu bapa supaya mengelak daripada membawa anak kecil mereka keluar dari rumah.

Ia berikutan tahap partikel udara PM2.5 berlebihan yang mencetuskan kualiti udara tidak sihat di kebanyakan kawasan sekitar Bangkok dan pinggir bandar.

Lapor Thai PBS World, Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu, Dr. Weerawut Imsamran berkata, kualiti udara paras PM2.5 menjejaskan kesihatan orang ramai terutamanya kanak-kanak yang mengalami masalah pernafasan.  

“Kanak-kanak berkenaan boleh mengalami kesukaran bernafas, hidung berair, sakit tekak atau keradangan hidung apabila terdedah,” katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa pendedahan berpanjangan kanak-kanak kecil kepada pencemaran PM2.5, boleh menjejaskan perkembangan mental mereka dan menyebabkan penyakit paru-paru yang serius serta kanser paru-paru.

Sementara itu, Pengarah Institut Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan Ratu Sirikit, Dr. Akarathan Jitnuyanont menyarankan ibu bapa perlu memastikan anak kecil memakai pelitup muka sekiranya perlu membawa mereka keluar dari rumah.

Jelas beliau, golongan itu juga perlu diberi bilas hidung dengan larutan garam secara berkala.  

Katanya, ibu bapa juga dinasihatkan membawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami batuk, kesukaran bernafas atau sakit dada.

Tambah beliau, langkah menutup pintu dan tingkap serta menggunakan penapis udara boleh membantu mengurangkan tahap habuk di dalam rumah.

Terdahulu, Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand melaporkan tahap partikel udara PM2.5 berlebihan di 74 kawasan di Bangkok dan pinggir bandarnya dalam tempoh 24 jam lalu.

Paras tertinggi direkodkan di mukim Pak Nam, Samut Prakan (75.7 μg) dan di Jalan Ma Charoen Phet Kasem 81 di daerah Nong Khaem (72.3μg).

Kebanyakan kawasan di wilayah tengah dan barat juga melaporkan PM2.5 berlebihan antaranya 28.8μg hingga 67.5μg. 

Lima kawasan di timur laut, enam kawasan di utara dan lima di timur mempunyai tahap PM2.5 yang berlebihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN