JAKARTA: Indonesia mengarahkan tentera untuk membantu petani menanam padi berikutan musim kemarau teruk memberi kesan kepada pengurangan pengeluaran padi di negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu.
Kesan pengurangan itu secara tidak langsung menyebabkan harga beras naik, memerlukan peningkatan import dan mengancam keselamatan makanan.
Susulan berlaku hujan di beberapa wilayah baru-baru ini, presiden Joko Widodo meminta pegawai penyelia tentera di kampung dikenali Babinsa untuk mengambil kesempatan membantu golongan petani.
“Memandangkan hujan di beberapa wilayah, kita mahu menggalakkan petani mula menanam padi.
“Ia tertangguh akibat fenomena El Nino, tetapi kita mahu segera terus menanam,” katanya.
Bekalan beras global semakin terhad tahun ini apabila El Nino, yang biasanya menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di Asia Tenggara, mengurangkan pengeluaran padi di negara pengeluar dan pengguna utama.
Harga di hab eksport utama Asia meningkat sebanyak 45 peratus ke tahap tertinggi dalam tempoh 15 tahun selepas pembekal utama dunia, India mengehadkan eksportnya.
Kemarau juga melambatkan penanaman di Indonesia untuk penuaian 2024, selepas pengeluaran negara tahun ini menurun kepada 30.9 juta tan metrik daripada 31.53 juta tan setahun lalu.
Pegawai Babinsa yang menghadiri lawatan itu, Sugiono, berkata dia sudah menyertai latihan selama sebulan mengenai penanaman padi untuk membantu petani.
Awal bulan ini, Menteri Pertanian Indonesia dan Ketua Angkatan Tentera menandatangani perjanjian kerjasama yang merangkumi bantuan anggota tentera dalam pertanian dan menggunakan tanah tentera yang terbiar untuk penanaman.
Anak benih dan jentera disediakan oleh Kementerian Perladangan.
“Sesetengah petani mempunyai tanah, tetapi kekurangan tenaga kerja kerana mereka semakin tua manakala generasi muda pula lebih suka bekerja di kilang.
“Jadi, angkatan tentera boleh membantu dengan peralatan dan kakitangan,” kata jurucakap tentera, Julius Widjojono.










