JAKARTA: Seorang pelajar Politeknik Negeri Padang di Sumatera Barat yang mengikuti ekspedisi pendakian sempat menelefon bapanya sebelum dilaporkan hilang di kawasan Gunung Marapi Ahad lalu.
Yasirli Amri,21, merupakan seorang daripada sejumlaj pendaki Gunung Marapi yang masih belum ditemui selepas operasi mencari ditangguhkan akibat hujan abu di kawasan berkenaan.
Sehingga kini, seramai 22 orang maut akibat letusan gunung berapi itu.
Sepupu Yasirli, Ahmad Gandi Sabri,28, berkata, adik sepupunya itu mengikuti rombongan seramai 18 orang untuk menyertai aktiviti kampus yang dijalankan di gunung berkenaan.
Menurut Ahmad Gandi, anak bongsu daripada dua beradik itu sudah meminta izin daripada keluarganya untuk menyertai rombongan itu dan menelefon bapanya pada hari ketiga pendakian.
“Memasuki hari ketiga selepas Gunung Marapi meletus, Yasirli menghubungi bapanya melalui telefon kira-kira pukul 17.30 petang (waktu tempatan) .
“Yasirli memberitahu lokasinya adalah di sekitar kawasan berbatu dan terakhir kali bersama kumpulannya berhampiran monumen Abel.
“Dalam telefon, dia beritahu dahaga, kakinya terasa mahu patah dan tidak sanggup lagi berjalan,” kata Ahmad Gandi dipetik Kompas.com.
Yasirli turut menghantar video pendek kepada keluarganya namun selepas itu dia tidak lagi dapat dihubungi.
Ahmad Gandi berkata, keluarganya di Batu Sangkar, Sumatera Barat, segera bergegas ke pos di Gunung Marapi dan berharap Yasirli dapat ditemui dalam keadaan selamat.
“Kami akan tunggu sehingga adik kami turun, semoga dia selamat,” katanya.










