MANILA: Sekurang-kurangnya 17 penumpang terbunuh manakala tujuh lagi kritikal, apabila bas dinaiki mereka terbabas di ‘selekoh maut’ sebelum terjunam dalam gaung di kaki sebuah gunung di tengah Filipina, petang semalam.
Ketua Agensi Bencana Wilayah, Roderick Train, berkata sebelum kejadian, bas itu dalam perjalanan di sebuah laluan yang kerap berlaku kemalangan di perbandaran Hamtic di wilayah Antik, 450 kilometer (km) ke selatan Manila.
“Tujuh orang berada dalam keadaan kritikal di hospital manakala empat lagi stabil. Pekerja penyelamat mengambil masa 10 jam untuk menyelamatkan penumpang dan mengeluarkan mayat kesemua mangsa.
“Kemalangan berlaku di laluan bergunung, dan bas itu terjatuh dari tempat tinggi ke gaung sedalam 20 hingga 25 meter. Sebab itu kesannya menyebabkan ramai terkorban.
“Jalan Hamtic-Iloilo ini adalah kawasan di mana sering berlaku kemalangan dan berdasarkan saksi, kemalangan berlaku akibat kegagalan mekanikal. Pemandu hilang kawalan, kemungkinan brek rosak,” katanya.
Pada masa sama, Train berkata operasi mencari dan menyelamat sudah selesai dan pihak berkuasa kini akan memberi tumpuan untuk membawa keluar bas itu.
“Kami mencari mayat sehingga pagi tadi dan operasi ini amat mencabar kerana memerlukan anggota naik dan turun dari gunung,” katanya.
Ketua agensi bencana perbandaran, Rafael Magbanua, berkata saksi kejadian memaklumkan bas itu dipandu laju dan nampak seperti hilang kawalan brek sebelum merempuh penghadang besi dan terbabas ke dalam gaung.
Sementara itu, Gabenor wilayah, Rhodora Cadiao, turut melawat mangsa yang selamat di hospital dan meminta jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya mencari jalan membaik pulih laluan berbahaya itu.










