JAKARTA: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 40 cedera dalam insiden letupan di kilang pemprosesan nikel yang dibiayai China di timur Indonesia.
Menurut jurucakap kompleks berkenaan, Dedy Kurniawan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin (waktu tempatan) di Kilang Keluli Tahan Karat Tsingshan Indonesia di Taman Perindustrian Morowali di wilayah tengah Sulawesi.
Katanya, mangsa yang terbunuh melibatkan lapan rakyat Indonesia dan lima pekerja asing warga China.
Rakaman kejadian menunjukkan kepulan asap memenuhi ruang udara kemudahan tersebut dan mayat mangsa berbaris di dalam beg mayat berwarna jingga di sebuah klinik di kompleks perindustrian itu.
“Muka mereka melecur teruk dan pakaian mereka semuanya hangus,” kata seorang pekerja di kompleks perindustrian itu kepada wartawan.
Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku ketika kerja-kerja pembaikan pada relau apabila cecair mudah terbakar menyala dan menyebabkan tangki oksigen berhampiran turut meletup.
Dedi berkata, api hanya berjaya dipadamkan pada pagi semalam.
Firma yang mengendalikan taman perindustrian itu menzahirkan rasa sedih dengan bencana itu dan memaklumkan mayat pekerja asing yang dikenal pasti sudah diterbangkan ke negara mereka.-AFP