Solusi kabur konflik Israel-Palestin

Solusi kabur konflik Israel-Palestin, penyelesaian dua negara sukar dilaksana

SEORANG penduduk mendukung anak kecil yang cedera akibat serangan Israel di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertempuran yang disifatkan paling berdarah dalam tempoh beberapa dekad di Gaza menghidupkan semula pilihan penyelesaian dua negara sebagai harapan terakhir untuk mengembalikan keamanan di wilayah bergolak di Palestin.

Tetapi usaha-usaha dan strategi yang diperlukan untuk mencapai solusi itu masih tidak jelas.

STRATEGI KABUR

“Perang antara Israel dan Hamas di Gaza mungkin akan berlarutan beberapa bulan lagi tetapi hari penamatnya akan tiba. Apabila krisis ini berakhir, perlu ada visi tentang apa yang akan datang.

“Dan pada pandangan kami, ia mestilah penyelesaian dua negara,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden baru-baru ini. 

Ramai diplomat dan penganalisis bersetuju bahawa keamanan berkekalan wajib diusahakan selepas pertempuran antara Israel dan Hamas tamat.

Penyelesaian untuk konflik pahit yang melanda rantau itu selama hampir satu abad dengan membahagikan tanah antara Sungai Jordan dan Mediterranean bagi mengukir dua negara Israel dan Palestin yang merdeka dan berdaulat yang wujud secara bersebelahan berulang kali disokong oleh pemimpin dunia.

Tetapi terbukti mustahil bagi Israel dan Palestin untuk mencapai persetujuan.

Sejak rundingan yang diuruskan oleh bekas Setiausaha Negara AS, John Kerry gagal pada 2014 dan apabila penempatan Yahudi di Tebing Barat serta BaitulmuqaddisTimur semakin berleluasa, konsensus penyelesaian dua negara itu sudah hampir mati.

Pandangan itu diperkukuh oleh tinjauan pendapat yang dijalankan sejurus sebelum serangan maut Hamas terhadap warga Israel pada 7 Oktober lalu. 

Pada bulan September, tinjauan Pusat Penyelidikan Pew mendapati bahawa hanya 35 peratus rakyat Israel percaya cara itu  boleh membantu penduduk Israel dan Palestin yang merdeka hidup bersama secara aman, penurunan sebanyak 15 peratus sejak 2013.

Tinjauan Gallup pula mendapati hanya 24 peratus rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur menyokong penyelesaian dua negara, turun daripada 59 peratus pada 2012. 

“Tiada alternatif lain yang berdaya maju.

“Penyelesaian dua negara adalah pilihan paling baik untuk membolehkan kedua-dua penduduk Israel dan Palestin memenuhi hak politik, sivil dan kemanusiaan mereka,” kata anggota badan pemikir Chatham House, Yossi Mekelberg. 

KETANDUSAN PEMIMPIN BERKALIBER

Tetapi menurut Pakar Asia Barat, Aaron David Miller terdapat banyak halangan dalam cara penyelesaian dua negara terutamanya selepas konflik Israel-Hamas yang menyaksikan dua masyarakat trauma.

Kerajaan sayap kanan Israel secara mendalam menentang idea negara Palestin yang merdeka, dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menyekat kemajuan dalam isu itu selama bertahun-tahun. 

Tidak ramai yang menjangkakan beliau akan bertahan sebagai perdana menteri sebaik sahaja perang berakhir, tetapi tidak ada alternatif pro-keamanan yang jelas sehingga kini.

Kredibiliti Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas turut dipersoal usahanya dilihat tidak berkesan dalam mengekang ketegangan di rantau berkenaan sepanjang hampir 19 tahun memegang jawatan itu.

Pemimpin kanan puak politik Fatah, Marwan Barghouti yang dianggap wira kepada ramai rakyat Palestin pula berada di Israel selama 21 tahun, menjalani lima hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh.

“Apa yang kurang pada kedua-dua pihak ialah kepimpinan dan kemahuan politik. Kedua-dua pihak perlu bangkit selepas perang ngeri ini dan mencari kepimpinan baharu,” kata Miller.

Walaupun Israel, Palestin, AS dan negara-negara Arab bertekad untuk meneruskan proses damai baharu, cabaran utama bagi sebarang perjanjian sempadan adalah masa depan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, hak pelarian Palestin dan keturunan mereka serta keselamatan di Gaza perlu diambil kira.

“Kota Lama Baitulmaqdis yang menempatkan tapak suci umat Islam, Yahudi dan Kristian perlu menjadi kota terbuka yang ditadbir bersama oleh kedua-dua negara. 

“Gaza juga tidak boleh ditinggalkan dari negara Palestin masa depan. Perlu ada koridor darat antara Tebing Barat dan Gaza untuk membenarkan akses masuk bagi keperluan asas.

“Di bawah pelan tindakan yang sedia ada, sebuah negara Palestin akan mempunyai pasukan polis tetapi bukan tentera atau tentera udara dan sejumlah keturunan pelarian Palestin harus dibenarkan pulang ke Israel,” kata Peguam Palestin di Ramallah, Hiba Husseini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN