Remaja yatim piatu jalan kaki 14 kilometer ke sekolah

Remaja yatim piatu jalan kaki 14 kilometer ke sekolah

LENI berjalan kaki ke sekolah dari rumahnya di Dusun Langgaha Baru di di Sulawesi Tenggara.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Demi menggapai impian dan masa depan yang lebih cerah, seorang remaja yatim piatu di wilayah Wakatobi di Sulawesi Tenggara sanggup berjalan kaki sejauh 14 kilometer untuk ke sekolah.

Terik matahari tidak menghalang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dikenali sebagai Leni untuk berjalan kaki ke SMA Negeri 1 Wangiwangi setiap hari.

“Saya tidak mahu ketinggalan  dengan rakan-rakan lain. Saya sudah berjalan sejak sekolah rendah,” kata Leni dipetik Kompas.com.

Supaya tidak terlewat, Leni yang bersekolah sesi petang mula berjalan kaki dari rumahnya di Dusun Langgaha Baru, Desa Wungka sekitar pukul 10 pagi.

“Saya keluar pada pukul 10 pagi dan tiba di sekolah sekitar pukul 12.00 tengah hari. Kalau pulang pukul 4 atau 5 petang, saya akan sampai rumah menghampiri waktu maghrib,” katanya.

Leni dan dua adiknya tinggal bersama nenek mereka yang lumpuh akibat penyakit strok.

Bagi memenuhi keperluan harian, Leni bekerja bersama dua adiknya sebagai buruh binaan selain menjual kelapa.

Sementara itu, Pengetua SMA Negeri 1 Wangiwangi, Yuwono berkata, pihak sekolah ada membuat kutipan derma bagi membantu menyediakan pakaian seragam untuk Leni dan sentiasa memantau keperluan remaja itu.

Yuwono menjelaskan, Leni merupakan seorang kanak-kanak yang pintar dan kini berada di kelas teratas di sekolahnya.

“Walaupun berjalan jauh, Leni tidak pernah lewat sampai ke sekolah. Hanya apabila dia pulang, dia tiba di rumahnya selepas matahari terbenam,” kata Yuwono.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN