LHOKSEUMAWE: Pasukan polis dan kumpulan nelayan mula melakukan rondaan di kawasan perairan Aceh bagi mencegah kemasukan bot membawa pelarian Rohingya ke wilayah ini.
Pada bulan ini, hampir 1,100 pelarian Rohingya masuk ke Aceh selepas bot mereka hanyut dan terkandas.
Ribuan pelarian etnik dari Myanmar itu sanggup merisikokan nyawa menyeberangi lautan dari kem pelarian di Bangladesh menggunakan bot untuk masuk ke Indonesia dan Malaysia.
Polis di Aceh Timur memaklumkan terdapat 36 bot membawa pelarian Rohingya cuba mendarat di Aceh kelmarin, menyebabkan mereka melakukan rondaan.
Jelasnya, rondaan akan dilakukan secara menyeluruh melibatkan semua kawasan termasuk di Selat Melaka bagi menghalang kemasukan pelarian tersebut.
“Pasukan polis akan berkawal dan meronda 24 jam setiap hari, bukan sahaja menghalang Rohingya mendarat di Aceh, malah di semua tempat di Indonesia,” kata Ketua Polis Aceh Timur, Andy Rahmansyah.
Di Aceh Utara, Ketua Kampung Tanoh, Amiruddin Ismail memberotahu, kumpulan nelayan juga akan membantu polis melakukan rondaan di laut.
Terdahulu, mereka mengesan dua bot membawa pelarian Rohingya berhampiran perairan pekan Muara Baru.
Ketua nelayan di Dewantara, Aceh Utara, Naharuddin menjelaskan, rondakaan dan kawalan itu penting kerana mereka tidak mahu lagi ramai pelarian Rohingya masuk ke kawasan mereka.
“Apabila nelayan ke laut, kami minta mereka pantau keadaan, jangan beri bot Rohingya masuk, sudah terlalu ramai mereka di sini (Aceh),” ujarnya.
Dalam pada itu, kumpulan penganalisis menjangkakan Rohingya menyasarkan Aceh kerana Malaysia dan Thailand sudah mengetatkan kawalan bagi menghalang kemasukan mereka secara haram.