TEBING BARAT: Selepas serbuan tentera Israel dan beberapa penangkapan di tapak perlindungan di bandar berdekatan Hebron dan Bethlehem, golongan pekerja dan pesakit dari Gaza yang terperangkap di Tebing Barat kini hidup dalam ketakutan dan semakin gusar jika mereka turut berdepan nasib serupa.
Serbuan di Tebing Barat merupakan sebahagian daripada kempen penahanan meluas yang setakat ini menyaksikan sekurang-kurangnya 1,900 rakyat Palestin ditangkap sejak meletusnya perang Israel-Hamas.
Ramai daripada 425 orang yang berteduh di pelbagai kem perlindungan di Nablus di Tebing Barat adalah lelaki pelarian yang memegang permit untuk bekerja di luar Gaza dan pesakit dari hospital yang diarah berpindah ke kawasan tersebut ketika Israel memperhebat serangan di utara Gaza.
Penduduk Palestin yang berlindung di Nablus bimbang mereka juga boleh ditahan oleh tentera Israel dan dicengkam ketakutan tentang nasib ahli keluarga mereka yang kekal di Gaza.
Sejak tiga bulan lalu, Mohammed Abu Seef, yang baru berusia 11 tahun terpisah dengan keluarganya di Gaza.
Pada mulanya, dia menerima rawatan kerana patah lengan yang serius di sebuah hospital di Herzliya.
Tetapi apabila perang meletus pada 7 Oktober, tentera Israel memindahkannya dari hospital dan memaksanya melalui lintasan berbahaya dengan berjalan kaki melalui pusat pemeriksaan tentera ke Tebing Barat seorang diri.
“Saya berada di hospital, tetapi mereka menghalau saya keluar. Saya pergi ke Nazareth sehingga keadaan menjadi reda supaya saya boleh kembali ke hospital untuk rawatan, tetapi tentera Israel mengikuti kami ke sana dan menghalau kami juga.
“Kami mula berlari kerana jika mereka menangkap kami, mereka akan menjadikan kami tebusan. Alhamdulillah saya kini ditemani sepupu saya. Tetapi saya tidak melihat keluarga saya selama tiga bulan yang lalu.
“Saya terlalu rindukan mereka dan sangat berharap dapat bercakap dengan mereka,” katanya.
Dua jam selepas bercakap dengan Mohammed, wartawan Al Jazeera dimaklumkan adik lelaki dan perempuannya terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia di utara Gaza.
Sehingga kini, sukarelawan yang mengendalikan kem menempatkan penduduk terkandas dari Gaza itu memberitahu, mereka belum berani untuk menyampaikan berita sedih itu kepadanya.
Mohammed kini tinggal di perkhemahan sementara di Stadium Perbandaran Nablus bersama lebih 200 penduduk Palestin kebanyakannya golongan pekerja yang dipindahkan dari Gaza.
Tetapi masa depan tapak itu seperti kebanyakan di Tebing Barat yang diduduki seakan telur dihujung tanduk begitu juga dengan nasib penghuninya.
Sebelum 7 Oktober lalu, dianggarkan 18,500 orang dari Gaza mempunyai permit yang membenarkan mereka bekerja di Israel.
Sejak itu, beribu-ribu daripada mereka ditangkap dan ratusan yang lain masih hilang dengan kumpulan hak asasi manusia dan kesatuan pekerja memberi amaran bahawa sejumlah besar pekerja mungkin sudah dibawa ke kem tahanan Israel.