Lintasan Rafah ditutup lagi - Utusan Malaysia

Lintasan Rafah ditutup lagi

PENDUDUK Gaza dan warga asing menunggu di lintasan Rafah untuk masuk ke Mesir. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tiada seorang pun penduduk Gaza yang cedera atau warga asing dibawa keluar dari wilayah bergolak itu ke Mesir menerusi lintasan Rafah, semalam.

Kumpulan Hamas memberitahu AFP, lintasan itu masih ditutup berikutan keengganan Israel untuk meluluskan senarai nama penduduk Gaza yang cedera atau warga asing yang mahu dipindahkan dari Gaza.

Zionis mendakwa, senarai nama penduduk Gaza itu sebenarnya anggota Hamas yang ingin mendapatkan bekalan dari luar.

Tentera Zionis dilaporkan terus mengebom Gaza tanpa henti, selain meningkatkan serangan darat di wilayah ini.

Sejak 7 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 10,500 penduduk Gaza terbunuh dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita.

Lintasan Rafah yang menghubungkan Gaza dengan Mesir sebelum ini dibuka semula pada 1 November lalu bagi membolehkan warga asing yang terkandas di wilayah itu dibawa keluar.

Terdahulu, lintasan itu ditutup selama dua hari selepas Israel melancarkan serangan terhadap konvoi ambulans yang menuju ke kawasan sempadan.

Israel mendakwa Hamas menggunakan ambulans untuk membawa bekalan senjata dan memindahkan anggota pejuangnya.

Koresponden AFP di lintasan Rafah melaporkan, orang ramai berkumpul di kawasan tersebut dengan harapan mereka dapat masuk ke Mesir.

Mazen Danaf yang memegang pasport Jerman memberitahu, situasi di Gaza amat teruk dengan ketiadaan air, elektrik dan hospital sudah terlalu sesak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN