GAZA: Pihak berkuasa Israel menggariskan syarat ketat kepadai tahanan Palestin dari Baitulmuqaddis Timur yang diduduki yang akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran dengan kumpulan pejuang Hamas.
Menurut Kelab Tahanan Palestin yang memantau hal ehwal tahanan, pelbagai sekatan diberikan kepada banduan dan keluarga mereka termasuk larangan mengedarkan gula-gula atau manisan bagi merayakan pembebasan tersebut.
Selain itu, banduan dan keluarga mereka dilarang bercakap kepada media, mengadakan perhimpunan masyarakat atau mempamerkan sebarang bentuk perayaan.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, sebarang pelanggaran syarat itu akan mengakibatkan denda sebanyak AS$18,700 (RM87,592).
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir sebelum ini berkata, beliau akan membanteras sebarang percubaan untuk meraikan pembebasan banduan di Baitulmuqaddis.
Menurut media Israel, Ben-Gvir memberitahu Pesuruhjaya Polis, Kobi Shabtai untuk menggunakan ‘tangan besi’ terhadap percubaan meraikan pembebasan banduan.
Beliau juga menggesa pasukan polis meningkatkan kehadiran berhampiran rumah banduan yang dijangka dibebaskan.
Sementara itu, tentera Israel dilaporkan membunuh enam rakyat Palestin, termasuk seorang doktor berusia 25 tahun di Tebing Barat awal pagi semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, doktor berkenaan dibunuh di luar rumahnya di Qabatiya, berdekatan Jenin yang juga kubu kuat kumpulan pejuang Palestin.
Empat lagi mangsa turut dibunuh ketika pencerobohan oleh sebilangan besar kenderaan berperisai ke dalam bandar Jenin sementara seorang lagi rakyat Palestin terkorban di el-Bireh, berhampiran Ramallah.
Kawasan itu menjadi lokasi serbuan paling berbahaya di Tebing Barat dalam tempoh hampir 20 tahun dan saksi memberitahu tentera Israel mengepung hospital awam Jenin serta klinik Ibn Sina.-AFP/AGENSI