LA PAZ: Bolivia memaklumkan negaranya menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel berikutan serangan berterusan ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 8,000 nyawa.
Lapor BBC, Timbalan Menteri Luar, Freddy Mamani mengecam sekeras-kerasnya kekejaman Israel di Palestin.
Malah, beliau turut menyifatkan tindakan rejim zionis itu sebagai `amat agresif dan tidak wajar’.
Bolivia merupakan negara Amerika Latin yang pertama mengambil langkah menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel berikutan konflik di Gaza.
Sebelum ini, Bolivia juga menggesa gencatan senjata dilaksanakan selain memaklumkan akan menghantar bantuan ke Gaza.
Negara itu hanya memulihkan hubungan Israel pada 2019, kira-kira sedekad selepas menamatkannya akibat serangan sebelumnya di Semenanjung Gaza.