BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan serangan Hamas ke Israel bertujuan menghalang proses damai di Asia Barat.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakan sejawatnya dari Britain, Rishi Sunak, untuk terus menyokong serangan balas Israel terhadap Palestin di Gaza.
Netanyahu berkata serangan pejuang Hamas dari Gaza yang setakat ini mengorbankan 1,400 mangsa di Israel, bertujuan menggagalkan rundingan damai ke arah mewujudkan keamanan di rantau itu.
“Kita berada di puncak untuk mengembangkan keamanan dan pihak yang mahu merosakkannya adalah penyebab kenapa tindakan (serangan) ini diambil.
“Ini adalah saat paling getir kami, bermakna ini adalah perang yang panjang dan kami memerlukan sokongan berterusan anda,” katanya kepada Sunak ketika pertemuan di Baitulmaqdis.
Sunak ialah pemimpin Barat terbaharu melawat Baitulmuqaddis untuk menunjukkan sokongan kepada Israel dan cuba merundingkan kaedah pembebasan tebusan oleh Hamas dan memudahkan saluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza.
Sunak bertemu Netanyahu selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Israel, Isaac Herzog.
Beliau yang mengalu-alukan keputusan membenarkan bantuan masuk ke Gaza, berkata pihaknya tahu Israel ‘mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk mengelak mencederakan orang awam berbanding pejuang Hamas’.
Terdahulu, Sunak dan Herzog menggariskan keperluan untuk mengelak peningkatan keganasan di rantau itu, yang mencetuskan demonstrasi di beberapa negara, termasuk letupan di hospital di Gaza yang dituduh dilakukan Israel.
Beliau hari ini, akan terbang ke Arab Saudi untuk bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kata jurucakap Sunak.
Sumber berkata Arab Saudi sudah menangguhkan rancangan disokong Amerika Syarikat (AS) untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Berdasarkan laporan terkini Kementerian Kesihatan Hamas, sekurang-kurangnya 3,785 mangsa terkorban di Semenanjung Gaza sejak Israel melancarkan serangan di wilayah yang dihuni sekitar 2.4 juta rakyat Palestin.
Kira-kira 1,524 kanak-kanak dan 1,000 wanita adalah antara mangsa yang maut akibat serangan udara tanpa henti Israel manakala 12,493 mangsa lagi cedera. – REUTERS