SEMENANJUNG GAZA: Israel mula melancarkan serangan darat di utara Gaza menyusuli serangan udara semalam, seminggu selepas serangan paling berdarah dalam sejarah wilayah itu.
Sehubungan itu, regim Zionis menggesa penduduk Palestin untuk meninggalkan kawasan itu sebelum serangan darat besar-besaran dilancarkan terhadap pejuang Hamas.
Rejim tentera Israel itu dalam kenyataan berkata, pasukan pertahanannya ditempatkan di seluruh kawasan dan meningkatkan kesediaan perang dengan penekanan pada operasi darat.
Ia menambah, ini akan termasuk serangan udara, laut dan darat dan meliputi ‘medan pertempuran yang diperluaskan’.
Pada Jumaat, tentera Israel menggesa rakyat Palestin meninggalkan kediaman dan menuju ke selatan.
Bagaimanapun, pejuang Hamas menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar dan menyatakan jalan keluar tidak selamat apabila turut dibom oleh Israel.
Hamas mengesahkan puluhan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas kereta dan trak yang membawa pelarian Palestin, pada Jumaat.
Di kejiranan Tel Al-Hawa, Gaza, pesawat Israel dengan kejam mengebom kawasan perumahan pada waktu malam.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, ia telah menerima arahan Israel untuk mengosongkan hospital pada pukul 4 petang, tetapi tidak akan berbuat demikian kerana mempunyai tugas kemanusiaan untuk terus memberikan perkhidmatan kepada orang yang sakit dan cedera.
Wartawan AFP berhampiran bandar Sderot di selatan Israel melihat tentera menembak ke arah kawasan yang padat penduduk sehingga menyebabkan kepulan asap hitam menjulang ke langit.
Dalam satu video yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelihatan tegas melawat tentera di barisan hadapan sempadan berikutan jangkaan pencerobohan besar-besaran akan berlaku tidak lama lagi.
Selepas seminggu pertempuran berlaku, lebih 1,500 penduduk Israel maut manakala di Gaza, pegawai kesihatan berkata, lebih 2,200 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.
Selain itu, bekalan makanan, air, bahan api dan perubatan semakin berkurangan kerana sekatan Israel, sekali gus agensi bantuan memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang akan berlaku. – AFP