RAMALLAH: Tentera Israel menyerbu dan melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian Palestin di Tebing Barat yang diduduki, semalam, menyebabkan sekurang-kurang 12 orang terbunuh, menurut pegawai Palestin.
Agensi berita rasmi Pihak Berkuasa Palestin, WAFA melaporkan puluhan rakyat Palestin turut cedera dalam pertempuran di kem pelarian Nur Shams itu yang terletak bersebelahan bandar Tulkarm, berhampiran sempadan wilayah dengan Israel.
Laporan itu menyebut tujuh mayat dibawa ke hospital, manakala lima lagi berada di dalam sebuah masjid di kem berkenaan.
Pasukan rejim Zionis mendakwa bahawa serangan itu menyasarkan kumpulan rakyat Palestin yang ‘memberi ancaman kepada tenteranya di kawasan terbabit’, dan 10 individu ditahan dalam serbuan berkenaan.
Menurutnya, serbuan dilakukan di kem pelarian Nur Shams untuk menangkap individu dikehendaki, merampas senjata dan memusnahkan infrastruktur kumpulan pejuang.
Polis Israel pula memaklumkan, seorang anggota perkhidmatan simpanan yang merupakan sebahagian daripada unit penyamaran, maut ketika serbuan itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Keganasan terus meningkat di Tebing Barat sejak konflik terbaru Israel-Hamas ketika ini meletus. Sejak 7 Oktober lalu, tentera rejim Zionis telah membunuh lebih 70 rakyat Palestin dan menahan lebih 800 lagi di Tebing Barat, menurut pegawai Palestin. – REUTERS