TEBING BARAT: Beratus-ratus penunjuk perasaan dilaporkan berhimpun di Tebing Barat bagi membantah serangan udara Israel yang membunuh ratusan nyawa di sebuah hospital di Gaza.
Di bandar Ramallah, Pihak Berkuasa Palestin (PA) terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan-jalan di kawasan berkenaan.
Penunjuk perasaan turut dilaporkan membaling batu dan melaungkan kecaman terhadap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
“Rakyat mahukan kejatuhan presiden,” laung beberapa penunjuk perasaan.
Beberapa individu yang menghadiri protes tersebut turut menyuarakan sokongan mereka kepada kumpulan Hamas yang mentadbir Gaza.
Saksi melaporkan perhimpunan serta bantahan besar-besaran turut merebak di bandar-bandar lain di seluruh Tebing Barat termasuk di bahagian utara seperti Nablus, Tubas dan Jenin yang menjadi tumpuan operasi meluas ketenteraan Israel awal tahun ini.
Protes yang tercetus di Tebing Barat menyerlahkan kemarahan penduduk Palestin terhadap Mahmoud dan pasukannya sudah lama menghadapi kritikan kerana berkoordinasi dengan Israel mengenai keselamatan di wilayah itu.
Mahmoud dilaporkan membatalkan pertemuan yang dirancang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang tiba di wilayah itu sebagai tanda sokongan kepada Israel selepas Hamas melakukan serangan pada 7 Oktober lalu.
“Serangan Israel ke atas hospital Gaza belum pernah terjadi. Mahmoud kembali ke Tebing Barat dengan segera selepas membatalkan pertemuan dengan Biden,” kata Pegawai Kanan Palestin, Hussein al-Sheikh.
Serangan ke atas Hospital Al-Ahli al-Arab di Gaza disifat insiden terburuk di Gaza sejak Israel melancarkan kempen kejam serangan udara ke atas wilayah Palestin itu.
Tentera Israel menafikan mereka bertanggungjawab terhadap serangan udara itu sebaliknya menuduh pengeboman berkenaan berpunca daripada pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan bersenjata Palestin.
Menurut pihak berkuasa Israel, serangan Hamas menyebabkan 1,400 orang terbunuh.
Israel kemudian menyerang Semenanjung Gaza bagi memuaskan nafsu balas dendam mereka melalui pengeboman udara tanpa henti yang meragut lebih 3,000 nyawa penduduk Palestin.
Serangan bertalu-talu yang dilakukan turut mencederakan lebih 10,000 orang dan hampir ‘meratakan’ seluruh kawasan perumahan dan bangunan-bangunan lain di Gaza.
Ketegangan juga dilaporkan semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki di mana tentera Israel membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin dan menangkap lebih 600 orang.
Kementerian kesihatan Palestin melaporkan, seramai 61 orang terbunuh dan lebih 1,250 cedera di Tebing Barat yang diduduki sejak serangan Hamas di Israel hampir dua minggu lalu.-AGENSI