GAZA: Sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang memerlukan inkubator untuk terus bertahan, namun simpanan bahan api di semua hospital di Semenanjung Gaza sudah pun kehabisan.
Perkara itu merunsingkan para petugas perubatan di semua hospital di Gaza kerana mereka bimbang, jika bekalan elektrik tiada, kesemua bayi tersebut akan meninggal dunia.
Selain itu, sekurang-kurangnya 50,000 wanita hamil di Gaza juga tidak mendapat akses menerima rawatan sepatutnya dan 5,500 lagi menunggu masa untuk melahirkan bayi.
Sebanyak tujuh daripada 30 hospital terpaksa ditutup akibat rosak teruk dibedil serangan udara tentera Israel, selain terputus bekalan elektrik, air dan ubatan.
Para doktor yang ada ketika ini menyifatkan keadaan sangat genting sehingga mereka hanya mampu berserah sama ada dapat menyelamatkan mangsa cedera atau terpaksa melihat mereka mati seorang demi seorang.
“Adakah dunia sampai hati melihat semua bayi ini mati? Jika tiada bantuan segera, itulah yang anda akan lihat, sama ada suka atau tidak,” kata Ketua Eksekutif Bantuan Perubatan untuk Palestin.
Dalam pada itu, tiada satu pun daripada 20 trak bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza pada Sabtu lalu membawa bahan api.
Hal itu kerana Israel bimbang bahan tersebut akan digunakan oleh Hamas untuk meningkatkan serangan.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jasarevic berkata, sebanyak 150,000 liter bahan api diperlukan untuk perkhidmatan biasa di lima hospital di Gaza.
“Jika generator berhenti, inkubator juga akan berhenti berfungsi dan bagaimanakah nasib kesemua bayi itu? Mereka tidak minta dilahirkan dalam keadaan begini dan jadi tanggungjawab kita untuk selamatkan mereka,” ujar jurucakap sebuah hospital Gaza, Abu Zahar.
Penyelaras Doctors Without Borders, Guillemette Thomas pula menyatakan, kesemua bayi pramatang itu boleh meninggal dunia dalam tempoh beberapa jam atau hari jika tidak menerima rawatan segera.
“Situasi kecemasan ini perlu dipandang serius, adakah anda semua mahu lihat ratusan bayi mati hanya kerana sekatan Zionis?,” soalnya.