NEW YORK: Sudah dua tahun sejak aktor terkenal, Daniel Craig mengucapkan selamat tinggal kepada watak dimainkannya, James Bond selepas tayangan filem No Time To Die.
Namun para peminat yang terdesak untuk mengetahui siapa bakal memegang watak ejen 007 yang ditinggalkan oleh Craig, dilihat seolah-olah terpaksa menunggu lama.
Lapor The Guardian, penerbit Barbara Broccoli berkata, terdapat cabaran besar perlu ditempuhi sebelum watak itu `dicipta semula’ untuk bab seterusnya.
Malah, katanya, kru eksekutif juga masih belum memulakan proses memodenkan francais perisikan popular itu.
Menurut Broccoli, siri seterusnya perlu menggambarkan cara dunia sudah berubah dalam tempoh dua dekad sejak Craig disahkan sebagai ejen 007 keenam, selain menunjukkan watak Bond sering dicipta semula.
“Saya kembali kepada era GoldenEye apabila semua orang berkata perang dingin sudah berakhir, Bond sudah mati dan tidak diperlukan lagi, seluruh dunia aman dan tiada penjahat, dan ia adalah salah,” katanya sambil menambah pemodenan amat perlu apabila pelakon baharu memainkan watak berkenaan.
Dengan lakonan Craig, katanya, mereka mahu menumpukan pada rupa wira abad ke-21.
“Craig memberi kami kebolehan untuk mendalami kehidupan emosi watak itu dan dunia juga bersedia untuk itu.
“Saya rasa semua filem ini menggambarkan masa mereka berada, malah terdapat cabaran besar di hadapan untuk menciptakan semula watak itu bagi bab seterusnya dan kami masih belum memulakannya,” katanya.
Broccoli bercakap mengenai siri Amazon baharu 007: Road to a Million.
Sementara itu, Broccoli menyatakan siri baharu itu merupakan perkara menyeronokkan untuk dilakukan ketika ini.
Malah, beliau berharap agar siri televisyen 007 dapat membantu mengisi `penantian’ peminat filem perisikan popular itu.
Siri televisyen 007:Road to a Million akan disiarkan pada 10 November depan di Prime Video.