Penduduk Gaza sanggup tidak mandi demi jimat air untuk diminum

Penduduk Gaza sanggup tidak mandi demi jimat air untuk diminum

SEORANG pelarian Palestin berkongsi membersihkan diri menggunakan sebotol air di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFAH: Di selatan Semenanjung Gaza, berpuluh-puluh orang beratur di bilik air, kebanyakan mereka mengakui tidak mandi selama beberapa hari selepas Israel memutuskan bekalan air, elektrik dan makanan di kawasan berkenaan.

Antaranya termasuk seorang penduduk, Ahmed Hamid, 43, terpaksa melarikan diri bersama isteri dan tujuh anaknya, menuju ke Rafah selepas tentera Israel memberi amaran kepada penduduk di utara supaya berpindah ke selatan jika ingin nyawa mereka selamat.

HIDUP TANPA AIR

“Kami sudah beberapa hari tidak mandi. Malah pergi ke tandas pun perlu menunggu giliran dalam barisan.

“Tidak ada makanan. Semua barang keperluan tidak tersedia dan harganya juga sudah melonjak tinggi. Makanan yang kami dapati hanyalah tin tuna dan keju,” katanya.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira satu juta orang kehilangan tempat tinggal sejak Israel memulakan pengeboman udara tanpa henti ke atas Gaza sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Serangan Hamas menyebabkan lebih 1,400 orang terbunuh di Israel sementara di Gaza, sekurang-kurangnya 2,750 nyawa terkorban akibat pengeboman tanpa henti sejak minggu lalu.

Israel bertindak memotong semua bekalan air, elektrik dan makanan ke kawasan pantai yang berpenduduk padat, sebelum menyambung semula bekalan air ke selatan kelmarin.

Penduduk Gaza, Mona Abdel Hamid, 55, yang menuju ke rumah saudara-maranya di Rafah mengakui kini terpaksa berkongsi tempat tinggal dengan ramai lagi orang yang tidak dikenalinya.

“Saya rasa terhina dan malu. Saya mencari perlindungan. Kami tidak mempunyai banyak pakaian dan kebanyakannya kotor sekarang, tanpa air untuk membasuhnya.

“Tiada elektrik, tiada air, tiada Internet. Saya rasa bukan lagi hidup seperti seorang manusia,” katanya.

Sejak Jumaat, Sabah Masbah, 50, tinggal bersama suami, anak perempuan dan 21 saudara lain di rumah rakannya di Rafah.

“Setiap hari kami berfikir bagaimana untuk dapatkan air. Kalau kami mandi, kami tidak akan ada bekalan air untuk minum,” katanya.

Penduduk Gaza yang mencari perlindungan di sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) juga terdesak mencari makanan dan air dengan Pengarah komunikasi agensi PBB itu, Juliette Touma memberi amaran lebih ramai lagi akan kehilangan tempat tinggal apabila penduduk terus meninggalkan rumah mereka.

JIHAD PENDUDUK GAZA

Walaupun perintah pemindahan dikeluarkan Israel, masih terdapat serangan udara di selatan termasuk di Rafah dengan kediaman doktor turut menjadi sasaran bedilan roket.

“Saya melihat mereka cuba melakukan kemusnahan besar-besaran. Mereka mengatakan terdapat keganasan di sini. Di manakah pula nilai kemanusiaan yang mereka perkatakan?

“Semua orang awam di sini tiada sebarang kaitan dengan mana-mana pertubuhan, tetapi mereka mati. Tiada siapa yang masih hidup,” kata seorang penduduk, Alaa al-Hams.

Seorang ibu, Samira Kassab yang berdiri di atas runtuhan kediamannya turut tertanya-tanya tentang nasib keluarganya namun menegaskan tidak akan meninggalkan tanah tumpah darahnya itu.

“Ke mana kami akan pergi dan di manakah negara Arab lain? Kami ini seakan diasingkan. Anak perempuan saya menghidap kanser tetapi saya tidak boleh membawanya ke hospital.

“Saya sendiri menghidap hipertensi dan diabetes tetapi saya tidak akan pindah, walaupun saya akan mati di sini. Kami minta roti dari negara lain, tetapi kami tidak akan berpisah dengan sebutir pasir di Gaza,” tegasnya.

KHAN YUNIS SESAK

Khan Yunis, bandar terbesar di selatan Gaza, kini menjadi rumah sementara bagi ratusan ribu orang yang melarikan diri dari bahagian utara Semenanjung.

Pelarian turut dilihat berbaris di koridor ketika doktor menyambut pesakit baharu yang cedera akibat bom Israel.

Pasukan perubatan mengaku mereka sudah berusaha seluruh tenaga tetapi tidak mempunyai banyak kemudahan untuk ditawarkan dengan air dicatu kepada 300 mililiter (ml) sehari untuk pesakit sementara pelarian tidak mendapat apa-apa.

Penduduk di kawasan pangsapuri kecil juga kini terpaksa berhimpit dan berkongsi keperluan bersama sanak saudara dengan setiap rumah menempatkan sehingga 60 orang.

Seorang pencipta kandungan Palestin, Mohammed Abo-Rejaal berkata, keadaan tersebut menyebabkan bandar yang sudah cukup daif itu tidak lagi bersedia menerima pelarian walaupun jumlahnya meningkat lebih dua kali ganda dalam satu malam.

“Bandar ini sudah cukup sempit untuk menampung kemasukan pelarian. Barisan untuk mendapat roti semakin panjang. Saya tahu orang yang mula beratur pada pukul enam pagi hanya mendapat beberapa ketul roti pada tengah hari,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN