JAKARTA: Kemuncak El Nino yang menjadi penggalak kebakaran hutan di Indonesia akan berlarutan sehingga penghujung bulan ini sebelum hujan dijangka berlaku pada November.
Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Dwikorita Karnawati berkata, El Nino diramal sederhana sehingga penghujung tahun ini dan mula lemah pada Februari sebelum diramalkan berakhir pada Mac tahun depan.
Justeru, peralihan daripada musim kemarau kepada musim hujan dilihat akan bermula pada November, sekali gus dapat meredakan masalah kebakaran hutan dan jerebu yang sedang melanda Indonesia serta negara jiran lain.
“Alhamdulillah, kerana angin monsun dari Asia tiba mulai November, jadi insya-Allah akan ada hujan pada bulan depan.
“Ini bermakna pengaruh El Nino akan mula dihanyutkan oleh hujan, justeru diharapkan kemarau yang kering ini akan berakhir secara beransur-ansur,” katanya.
Sementara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) dilaporkan mempengerusikan mesyuarat khas di Istana Presiden bagi membincangkan isu kemarau, ketersediaan air bersih, keadaan pertanian dan langkah menangani kebakaran hutan dan tanah.
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar berkata, Jokowi memberi tiga arahan penting dalam pertemuan itu.
“Pertama adalah untuk memetakan masalah secara menyeluruh. Kedua adalah memberi tumpuan kepada strategi ketersediaan air dan ketiga tentang usaha memeriksa kawasan pusat pengeluaran makanan untuk kecukupan air,” katanya.
Siti berkata, berdasarkan data awal minggu ini, terdapat 6,659 titik panas dengan 80 peratus peluang untuk mencetus kebakaran.
“Kawasan yang terbakar direkodkan seluas 267,000 hektar dan anggaran saya berdasarkan keadaan September lalu, ia nampaknya masih akan meningkat,” katanya.