BEIRUT: Lubnan kelmarin mendakwa Israel menjadi dalang kepada kematian seorang wartawan Reuters dan menyebabkan enam lagi cedera.
Ketenteraan Israel pula memaklumkan mereka akan menyiasat kejadian tersebut.
“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku,” kata jurucakap tentera Israel, Richard Hecht dalam sidang media berhubung kematian wartawan Reuters, Issam Abdallah.
Ketenteraan Lubnan menyatakan tentera Zionis melancarkan roket sehingga mengenai sebuah kenderaan kepunyaan pasukan media, sekali gus menyebabkan kematian Issam.
Kementerian Luar Lubnan menyifatkan serangan itu sebagai ‘pembunuhan’ dan ‘jenayah menentang kebebasan bersuara serta kewartawanan’.
Insiden itu juga mencederakan wakil media AFP dan Al Jazeera.
Pengerusi dan Ketua Eksekutif AFP, Fabrice Fries juga meminta semua pihak melakukan siasatan rapi mengenai insiden tersebut.
Dalam pada itu, ibu Issam, Fatima Kanso mempersoalkan bagaimana pasukan media yang turut disertai anaknya boleh menjadi sasaran.
“Anak saya lengkap memakai baju bertulis ‘WARTAWAN’, jadi kenapa serang mereka?
“Israel tidak boleh nafikan tindakan mereka yang meragut nyawa tidak bersalah,” ujarnya.