GAZA: Pintu lintasan Rafah tidak akan dibuka pada Jumaat untuk konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, kata beberapa sumber kepada CNN, ketika sebilangan besar pihak termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengharapkan proses itu segera berlaku.
“Saya tidak harap truk-truk itu akan melintasi sempadan hari ini (Jumaat),” kata sumber yang terlibat dalam perbincangan tersebut kepada CNN.
Kerja-kerja membaiki jalan perlu dilakukan di zon kawalan sempadan Mesir dan Palestin selain terdapat banyak butiran lain yang perlu diperhalusi untuk memastikan bantuan itu berterusan, bukan sekadar sekali kemasukan sahaja, kata sumber tersebut. Ini adalah ‘situasi yang sangat tidak stabil’, menurut sumber berkenaan.
“Mangsa di Gaza telah menunggu makanan, ubat dan air. Jika mereka diberitahu 20 truk akan datang dan kami tidak tahu bila (truk seterusnya) akan datang, ia hanya akan mengundang situasi yang sangat berbahaya.
“Jika saya berada dalam situasi itu, jika saya tidak fikir akan ada lagi truk, saya akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk mendapatkan bekalan asas,” katanya.
Pegawai-pegawai AS ketika ini menjangkakan bahawa konvoi pertama truk yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dari Mesir hanya akan melintasi sempadan pada hujung minggu ini, berkemungkinan pada hari Sabtu.
Bahkan, seorang pegawai AS memberi amaran bahawa situasi ini masih belum stabil kerana persediaan terus berjalan untuk membenarkan bantuan kemanusiaan itu masuk.