SEMENANJUNG GAZA: Kementerian Kesihatan Hamas di Gaza melaporkan jumlah kematian di wilayah itu sudah melebihi 8,000 mangsa setakat awal pagi semalam.
Sebahagian besar mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, berikutan bermulanya pengeboman besar-besaran sejak kelmarin, disusuli serangan darat oleh tentera Israel di Gaza.
Bagaimanapun, regim Zionis menyifatkan serangan itu sebagai hanya ‘berskala kecil’ sebagai persediaan ‘peringkat seterusnya’, sekali gus menimbulkan kebimbangan jumlah kematian akan meningkat dan perang meluas menjadi konflik serantau.
Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata kereta kebal dan askar infantri miliknya sudah memasuki utara Gaza sejak Khamis sebagai ‘persediaan untuk peringkat pertempuran seterusnya’.
Pada masa sama terdapat laporan mengenai peluru berpandu membedil beberapa bandar di sempadan Mesir, lapor agensi berita Mesir, Al Qahera.
Ia memetik keterangan sumber bahawa peluru berpandu itu menjejaskan kemudahan perubatan di Taba, bandar peranginan Laut Merah Mesir, berhampiran sempadan Israel pada awal Jumaat, mencederakan enam mangsa.
Al Qahera berkata letupan peluru berpandu itu ada kaitan dengan pertempuran antara Israel dengan Hamas di Gaza, yang diakui tentera Israel bahawa ia menyedari isu keselamatan di kawasan itu.
Minggu ini, bedilan Israel berkata roket Hamas menyasarkan kawasan di luar Eilat, bandar Israel di seberang sempadan dari Taba.
Seorang saksi di Taba, terletak kira-kira 220 kilometer (km) dari Gaza, melaporkan mendengar letupan dan diikuti dengan asap tebal serta debu di kawasan itu.
Pejuang Palestin dilaporkan bertempur dengan tentera Israel di sekurang-kurangnya di dua kawasan di Gaza pada Jumaat, lapor media yang bersekutu dengan Hamas.
Di sempadan berhampiran bandar Rafah pula, Hamas dilaporkan berbalas tembakan dengan tentera Israel, kata laporan itu.











