DOHA: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk Palestin menolak ‘pemindahan’ di dalam Semenanjung Gaza atau keluar dari kawasan yang disekat untuk ke Mesir, berikutan arahan berpindah kerana serangan udara Israel.
Dalam ucapan di televisyen, pemimpin berpangkalan di Qatar itu berkata serangan besar-besaran menyasarkan masyarakat Israel berhampiran sempadan Gaza pada 7 Oktober lalu adalah ‘serangan strategik’ yang akan membantu ‘pembebasan Palestin’.
“Jadi, tidak akan ada perpindahan dari Tebing Barat, bukan dari Gaza dan tidak juga dari Gaza ke Mesir. Penduduk Palestin akan mempertahankan tanah air.
“Keputusan kami adalah untuk kekal di tanah sendiri, sebaliknya mahu pendudukan haram Israel meninggalkan tanah kami supaya rakyat Palestin mempunyai sebuah negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota,” katanya.
Berikutan serangan itu, Israel mendakwa lebih 1,300 orang terbunuh sejak pejuang Hamas menyerbu selatan negara itu, membunuh orang awam dan pasukan keselamatan serta membawa sekurang-kurangnya 120 tawanan.
Israel kemudian menyerang Gaza dengan serangan udara dan tembakan artileri yang meragut sekurang-kurangnya 2,269 nyawa termasuk 724 kanak-kanak di kawasan Palestin yang disekat sejak minggu lalu, menurut kumpulan Hamas.
Semalam, Haniyeh menuduh Israel melakukan jenayah perang dan menghalang bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza.
“Kekejaman Israel sama dengan jenayah perang,” katanya dalam surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang turut disiarkan di laman sesawang kumpulan Palestin itu.
Haniyeh juga mengutuk kepungan biadab Israel yang dikenakan ke atas wilayah Palestin, menuduh bahawa pendudukan Israel melarang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.
Beliau juga menggesa Guterres untuk menekan Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. – AFP