JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan harga beras di Indonesia kini lebih murah berbanding di beberapa negara lain di Asia Tenggara.
Jokowi berkata, kenaikan harga beras berlaku berikutan dasar beberapa negara yang memutuskan untuk menghentikan eksport beras.
“Sebaik sahaja India, ditambah 22 negara lain berhenti mengeksport beras, harga naik di semua negara,” kata Jokowi ketika merasmikan majlis meraikan sukarelawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul di Bogor.
Jokowi turut memperincikan harga beras di Asia Tenggara dan gembira harga beras di Indonesia masih lebih murah.
“Harga beras di negara kita masih sekitar 10,800 hingga 13,000 rupiah (RM3 hingga RM3.9) sekilogram. Tetapi ingat, di negara jiran kita harganya sudah sangat tinggi.
“Sebagai contoh, di Singapura harga puratanya ialah 21,600 rupiah (RM6.30). Di Brunei, harganya mencecah purata 37,000 rupiah (RM11.70).
“Di negara jiran rapat yang sentiasa bekerjasama dengan kami, Timor Leste, harganya ialah 20,000 rupiah (RM6.03),” katanya dipetik CNN Indonesia.
Bagaimanapun, Jokowi tidak menafikan harga beras di Indonesia meningkat mendadak sejak beberapa minggu lalu seiring dengan trend harga makanan dunia.
“Kerajaan akan terus berusaha mengawal harga beras di Indonesia. Kami akan terus cuba menekan harga supaya ia terus jatuh dan kembali normal,” katanya.