GAZA: Israel seakan tidak sabar menggempur Gaza melalui serangan darat yang bakal berlaku bila-bila masa dengan penduduk Palestin kini berserah seakan menunggu mati.
Rejim zionis memberi sedikit masa lagi kepada rakyat Palestin untuk melarikan diri dari kawasan utara yang diikrarkan untuk disasarkan bagi melunaskan rancangan balas dendam mereka terhadap kumpulan pejuang Hamas.
DIAMBANG KEHANCURAN
Lebih 1,300 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan Hamas di Israel yang mencetuskan kempen pengeboman besar-besaran di Gaza, mengorbankan lebih 2,200 nyawa penduduk Palestin.
Israel memberi amaran kepada kira-kira 1.1 juta penduduk Gaza yang tinggal di utara wilayah Palestin untuk melarikan diri ke selatan menjelang pencerobohan darat yang akan memberi tumpuan kepada lokasi pangkalan kepimpinan kumpulan Hamas.
Tentera Israel berkata, penduduk Gaza tidak boleh menangguhkan pemindahan mereka tetapi seorang jurucakap berkata, penduduk masih mempunyai masa untuk meninggalkan kawasan berkenaan kerana serangan darat tidak akan bermula pada hari Ahad.
Sejak Jumaat, ribuan rakyat Gaza yang tidak boleh meninggalkan kawasan itu kerana disekat oleh Israel dan Mesir, mengemas keperluan mereka ke dalam beg pakaian sebelum menyusuri jalan-jalan yang dipenuhi runtuhan.
Aliran kereta, trak, kenderaan beroda tiga dan gerabak ditarik keldai menyertai pergerakan besar-besaran ke arah selatan, semuanya sarat dengan keluarga yang membawa bersama tilam, peralatan tempat tidur serta beg diikat pada bumbung kenderaan.
Israel menyerang utara Gaza dengan bedilan dari udara dan wartawan berhampiran bandar Sderot di selatan Israel melihat tenteranya menembak ke arah kawasan yang padat penduduk, menghantar kepulan asap hitam ke langit.
Tentera Israel mendakwa mayat beberapa tebusan yang diculik oleh Hamas ditemui semasa operasi di dalam Gaza.
Hamas sebelum ini melaporkan 22 tebusan terbunuh akibat pengeboman Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat melawat tenteranya di garisan hadapan sempadan, meningkatkan jangkaan pencerobohan akan berlaku dalam masa terdekat.
“Adakah anda bersedia untuk apa yang akan datang? Lebih banyak lagi akan datang,” kata Netanyahu memberitahu beberapa anggota tentera menerusi video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.
NYAWA DI HUJUNG TANDUK
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin berkata, bagi mengelak risiko perang meningkat menjadi konflik serantau, negaranya mengerahkan kapal pengangkut pesawat kedua yang akan menghalang tindakan permusuhan terhadap Israel.
Dunia kini gusar dengan nasib orang awam Palestin di Gaza yang disekat dan terkepung di kawasan paling padat penduduk di dunia itu jika lokasi berkenaan menjadi pentas pertempuran bandar yang sengit dengan pembunuhan dibuat dari rumah ke rumah.
Agensi-agensi bantuan berkata, memaksa penduduk Gaza berpindah merupakan ‘misi mustahil’ terutama ketika peperangan semakin memuncak dan menjadi tidak terkawal.
Tetapi dengan bekalan makanan, air, bahan api dan perubatan semakin berkurangan kerana sekatan Israel, krisis kemanusiaan juga dijangka bakal bertambah buruk.
“Keadaan ini adalah malapetaka. Kami tidak mempunyai makanan atau tempat tidur.
“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya hanya menyerahkan nasib saya kepada Tuhan,” kata penduduk, Jumaa Nasser yang mengembara dari Beit Lahia di utara Gaza bersama isteri, ibu serta tujuh anaknya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, memaksa beribu-ribu pesakit berpindah ke hospital yang sudah melimpah di selatan Semenanjung Gaza seakan sama seperti menjatuhkan hukuman mati kepada mereka.
Ketua Hamas dalam buangan, Ismail Haniyeh menuduh Israel melakukan jenayah perang di Gaza tetapi menolak sebarang perpindahan penduduk termasuk ke Mesir.
Hamas kerap dituduh Israel menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
Arab Saudi mendesak untuk gencatan senjata segera sementara Russia memaklumkan sudah meminta Majlis Keselamatan PBB untuk mengundi pada hari Isnin mengenai resolusi usaha tersebut.-AFP