JAKARTA: Indonesia dilaporkan meminta bantuan daripada kerajaan Filipina untuk membawa keluar rakyatnya dari Israel dan Palestin berikutan konflik berdarah yang masih berterusan di wilayah berkenaan.
Permohonan bantuan tersebut disampaikan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi kepada rakan sejawatnya di Filipina, Enrique Manalo.
“Permintaan itu dibuat kerana Filipina mempunyai kedutaan di Tel Aviv.
“Dalam komunikasi ini, Retno meminta bantuan Filipina untuk memindahkan warga Indonesia dari kawasan konflik jika perlu.
“Permohonan Retno segera dibalas Manalo yang memaklumkan sudah mengarahkan pasukan Filipina untuk turun padang di kawasan berkenaan,” kata jurucakap Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal dipetik Kompas.com.
Lalu Muhammad menjelaskan, usahasama membantu memindahkan rakyat satu sama lain di kawasan konflik sering dilakukan oleh Indonesia dan Filipina sebelum ini.
“Sebelum ini, Indonesia membantu memindahkan warga Filipina dari Yemen pada 2015, di Kabul pada 2021 dan juga di Sudan tahun ini,” katanya.
Retno juga dilaporkan menghubungi Presiden Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Mirjana Spoljaric di Geneva bagi meminta sokongan untuk memudahkan pemindahan warga Indonesia dari Semenanjung Gaza.
Retno turut menggesa ICRC mengambil bahagian dalam usaha menghentikan keganasan di rantau itu dengan mewujudkan inisiatif koridor kemanusiaan bagi membantu orang awam yang terjejas.
“Pemerintah Indonesia melakukan segala usaha yang mungkin melalui pelbagai saluran untuk memberikan perlindungan kepada warga Indonesia dan menghentikan keganasan secepat mungkin,” jelas Iqbal.