GAZA: Hamas menuntut pembebasan 6,000 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel dengan kemungkinan kaedah pertukaran akan dilakukan membabitkan tawanan bukan Israel yang kini berada dalam tangan kumpulan pejuang itu.
Bekas ketua Hamas yang kini mengetuai pejabat diaspora di Doha, Khaled Meshaal, berkata mereka mempunyai ‘apa yang diperlukan’ untuk membebaskan semua rakyat Palestin di penjara Israel.
“Kita mempunyai apa yang diperlukan untuk mengosongkan penjara dan membebaskan semua tahanan,” katanya kepada TV AlAraby.
Sehingga kini, Hamas dilaporkan mempunyai tahanan membabitkan warganegara luar termasuk Thailand dan Jerman.
Warga Israel yang mempunyai dua kewarganegaraan termasuk Amerika Syarikat (AS) juga dipercayai berada dalam tawanan Hamas.
Pada masa sama, Hamas dalam kenyataan secara berasingan turut menyatakan tahanan membabitkan bukan warga Israel akan dibebaskan apabila keadaan mengizinkan.
Sementara itu, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Obeida, berkata Hamas mempunyai sekumpulan tahanan yang berlainan bangsa, yang dianggap tetamu mereka.
“Kami berusaha untuk melindungi mereka dan akan membebaskan tahanan yang berlainan kewarganegaraan apabila keadaan di lapangan mengizinkan,” katanya melalui rakaman video tanpa menghuraikan maklumat terperinci.
Seorang lagi pegawai kanan Hamas, Moussa Abu Marzouk, berkata banduan asing tidak boleh dibebaskan kerana serangan bom berterusan Israel di Semenanjung Gaza.
Hamas dilaporkan menahan puluhan tebusan dari selatan Israel sejak 7 Oktober lalu.
Tentera rejim Israel mendakwa, Hamas kini menahan seramai 199 tebusan di Gaza namun kumpulan pejuang itu berkata jumlah yang ditahan kini mencecah antara 200 hingga 250.
Pada 2011 lalu, Israel bertindak membebaskan ratusan tahanan Palestin bagi mendapatkan semula seorang tenteranya, Gilad Shalit, yang ditahan selama lima tahun.
Kaedah pertukaran itu bagaimanapun dikritik warga Israel ketika itu kerana didakwa berat sebelah.