Gempa bumi di barat Afghanistan ragut 2,053 nyawa

Gempa bumi di barat Afghanistan ragut 2,053 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HERAT: Angka kematian akibat beberapa siri gempa bumi di barat Afghanistan dilaporkan mencecah lebih 2,000 orang.

Data itu didedahkan oleh seorang pemimpin kanan Taliban yang menjangkakan angka korban akan terus meningkat dalam salah satu gempa bumi paling dahsyat yang melanda negara itu dalam tempoh dua dekad.

Lapor Al Jazeera, jurucakap Taliban, Suhail Shaheen mengesahkan ramai penduduk masih hilang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat sedang dilaksanakan bagi membawa keluar mangsa yang terperangkap di bawah serpihan runtuhan perkampungan yang musnah.

Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter, diikuti lapan gegaran susulan yang kuat, menggegarkan kawasan sukar dijangkau 30 kilometer barat laut ibu kota wilayah Herat.

Menurut Suhail, terdapat keperluan mendesak bagi khemah, perubatan dan barang makanan di kawasan terjejas gempa bumi.

Beliau juga merayu ahli perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk tampil menghulurkan bantuan kepada golongan mangsa yang memerlukan.

Jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan dan Bencana, Janan Sayeeq berkata, sekurang-kurangnya 2,053 orang maut manakala seramai 9,240 cedera.

Katanya, sebanyak 1,320 rumah sama ada rosak atau musnah dalam kejadian itu.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Abdul Wahid Rayan berkata, lebih 2,000 orang maut dalam kejadian gempa bumi dan gempa susulan itu.

Kira-kira enam perkampungan dilaporkan musnah dan beratus-ratus orang awam tertimbus di bawah serpihan runtuhan.

Semalam, pihak berkuasa bencana negara memaklumkan gempa bumi melanda barat Afghanistan mengorbankan kira-kira 100 orang.

Sementara itu, AFP melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 600 buah rumah musnah atau rosak sebahagiannya di sekurang-kurangnya 12 perkampungan di wilayah Herat, dengan hampir 4,200 orang terjejas.

“Dalam gegaran pertama semua rumah kami runtuh. Mereka yang berada dalam rumah tertimbus dalam runtuhan.

“Ada ahli keluarga sehingga kini tidak mendapat khabar berita,” kata penduduk bernama Bashir Ahmad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya