Gaza berdepan ancaman wabak penyakit berjangkit

Gaza berdepan ancaman wabak penyakit berjangkit

PASUKAN perubatan merawat seorang bayi yang cedera akibat serangan tentera Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Kementerian Kesihatan Palestin semalam memaklumkan, sekurang-kurangnya 28 petugas perubatan di Semenanjung Gaza terbunuh akibat serangan berterusan tentera Israel di wilayah itu sejak 7 Oktober lalu.

Lapor Anadolu, puluhan petugas perubatan yang lain turut cedera dengan 15 pusat perubatan mengalami kerosakan akibat dibedil bom.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila berkata, setiap hari tentera Israel mendesak supaya pesakit di hospital gaza dipindahkan, termasuk pesakit di Hospital Kanak-Kanak Al-Durrah, manakala Hospital Beit Hanoun terpaksa menghentikan operasi.

“Kami ada pesakit yang tenat dan perlu memakai oksigen sepanjang masa, jadi bagaimana kami boleh memindahkan mereka tanpa sebarang risiko?

“Israel hanya mendesak kami, mengancam kami tanpa memikirkan kesannya kepada golongan yang berisiko,” katanya.

Selain itu, Alkaila mengulangi rayuannya kepada masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan hak asasi manusia dan entiti kemanusiaan antarabangsa untuk menyediakan perlindungan segera bagi hospital, kemudahan rawatan, ambulans, petugas kesihatan, pesakit dan mereka yang cedera.

Israel mengingkari seruan antarabangsa untuk menghentikan serangan dan rejim itu turut memotong bekalan air dan elektrik ke Gaza yang memburukkan lagi situasi kemanusiaan.

Dalam pada itu, kebanyakan hospital di bahagian utara kawasan yang dikepung telah menerima arahan pemindahan sebelum serangan darat, manakala kemudahan perubatan di seluruh wilayah berpenduduk padat dibanjiri oleh pesakit yang cedera dan penduduk yang mencari perlindungan.

Keadaan amat kritikal di Hospital Shifa, kompleks perubatan terbesar di bandar Gaza, di mana doktor Palestin memberi amaran tentang wabak penyakit berjangkit yang akan berlaku akibat kesesakan pesakit.

Memetik laporan Al Jazeera, menurut pakar bedah, Ghassan Abu Sitta, terdapat puluhan ribu orang berpusu-pusu ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan terkena serpihan bedilan bom Israel dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN