TEHRAN: Dua wartawan wanita Iran yang ditahan kerana melaporkan kematian Masha Amini dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, lapor badan kehakiman.
Kes kematian berkenaan mencetuskan protes di seluruh negara tahun lalu.
Kematian Mahsa Amini dalam tahanan pada 16 September tahun lalu di Tehran kerana dakwaan melanggar peraturan ketat pakaian Iran untuk wanita membawa kepada bantahan besar-besaran di seluruh negara.
Laman web badan kehakiman Mizan Online melaporkan, wartawan berkenaan iaitu Elaheh Mohammadi dan Niloufar Hamedi kedua-duanya didapati bersalah kerana bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), berkomplot menentang keselamatan negara dan propaganda terhadap republik Islam itu.
Menurut portal itu, Elaheh, 36, dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana bekerjasama dengan AS dan Niloufar, 31, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan yang sama.
Elaheh yang merupakan wartawan akhbar Ham Mihan sementara Niloufar, jurugambar akhbar Shargh ditahan di penjara Evin Tehran sejak September tahun lalu dengan perbicaraan mereka bermula pada bulan Mei.
Bagaimanapun keputusan terhadap mereka tertakluk kepada rayuan.
Keputusan itu susulan hukuman penjara satu tahun ke atas peguam Mahsa Amini, Saleh Nikbakht pada Selasa kerana propaganda terhadap negeri itu dan bercakap dengan media asing serta tempatan mengenai kes itu. – AFP