Bukan hanya Palestin, Zionis juga 'cari pasal' dengan Syria, Lubnan

Bukan hanya Palestin, Zionis juga ‘cari pasal’ dengan Syria, Lubnan

PENDUDUK Palestin mengalihkan serpihan runtuhan berhampiran sekolah milik PBB di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Zionis memperhebatkan serangan ke atas utara Gaza malah memberi amaran kepada sesiapa yang masih enggan meninggalkan kawasan tersebut berisiko dianggap sebagai rakan subahat kumpulan pejuang Hamas.

Pasukan Pertahanan Israel mendakwa menyerang lebih 320 sasaran di Gaza dalam tempoh dua hari lalu termasuk infrastruktur dan peralatan ketenteraan Hamas.

KEKEJAMAN BERTERUSAN ZIONIS

Pesawat pejuang Israel dilaporkan menyerang dua lapangan terbang utama Syria di ibu negara Damsyik dan bandar utara Aleppo, menyebabkan kemudahan itu tidak beroperasi.

Rejim zionis turut berbalas tembakan roket dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan hampir setiap hari sejak perang bermula dan Israel yang jarang mengakui serangannya berkata terpaksa bertindak untuk menghalang kumpulan berkenaan membawa masuk senjata daripada penaung mereka di Iran yang turut menyokong Hamas.

Ketegangan turut semakin memuncak di Tebing Barat yang diduduki, di mana operasi tentera Israel memerangi pejuang Hamas di kem pelarian dan masjid mengorbankan lebih 90 nyawa.

Tetapi tentera Israel mengakui masih terdapat ratusan ribu orang awam Palestin di utara Gaza walaupun perintah pemindahan menyeluruh dibuat yang akan merumitkan sebarang serangan darat.

Risiko mencetuskan perang yang lebih luas dengan sekutu Hamas di Lubnan dan Syria juga mungkin menyekat rancangan itu.

Di Lubnan, Hezbollah berkata, enam pejuangnya terbunuh dalam serangan Sabtu lalu dan Timbalan Ketua Kumpulan itu, Sheikh Naim Kassem memberi amaran bahawa Israel akan menanggung akibat yang buruk jika memulakan serangan darat di Semenanjung Gaza.

Israel juga mengumumkan rancangan pemindahan untuk 14 lagi komuniti berhampiran sempadan Lubnan dengan kawasan Kiryat Shmona yang mempunyai populasi lebih 20,000 orang sudah diarahkan berpindah minggu lalu.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, kempen ketenteraan di Gaza mungkin berlarutan lebih lama sehingga misi rejim zionis untuk menghapus pejuang Hamas tercapai.

“Misi di Gaza mungkin akan memakan masa sebulan atau mungkin dua hingga tiga bulan lagi. Dari segi aspek operasi pergerakan, pada penghujung hari, tiada apa yang akan menghalang Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

“Ini sepatutnya menjadi operasi pergerakan terakhir kami di Gaza, atas alasan mudah bahawa selepas itu tidak akan ada lagi Hamas,” katanya.

TANGISAN GAZA

Sejak tiga hari lalu, media Mesir melaporkan konvoi trak membawa bantuan kepada penduduk Palestin dibenarkan menyeberang ke Gaza melalui persimpangan Rafah.

Namun sukarelawan dan anggota penyelamat mengadu jumlah bantuan yang dibenarkan masuk tidak cukup untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di Gaza, di mana separuh daripada 2.3 juta penduduk wilayah itu dipaksa meninggalkan rumah mereka.

Hospital yang penuh dengan pesakit dan orang yang berpindah kehabisan bekalan perubatan serta bahan api untuk penjana hingga memaksa doktor melakukan pembedahan dengan jarum menjahit pakaian, menggunakan cuka dapur sebagai pembasmi kuman dan merawat pesakit yang parah tanpa sebarang bius.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kes cacar air, kudis dan cirit-birit semakin meningkat kerana kekurangan bekalan air bersih.

Di Gaza, penduduk yang ketakutan mengakui tidak pasti ke mana lokasi selamat boleh dituju dan bagaimana untuk melindungi keluarga mereka daripada ancaman bom yang gugur hampir di setiap sudut di kawasan yang terkepung itu.

“Walaupun dalam mimpi buruk, saya tidak pernah terfikir malapetaka ini boleh berlaku,” kata penduduk, Rami Abu Wazna merenung kemusnahan di kawasan kejiranan Al-Zahra di tengah Gaza.

Skala pengeboman menyebabkan sistem asas tidak dapat berfungsi, dengan PBB melaporkan kira-kira 40 mayat tidak dikenal pasti dikebumikan dalam satu kubur besar di Gaza City kerana tiada kekosongan di bilik mayat sebelum identiti mereka dapat disahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN