KAHERAH: Semenanjung Gaza hanya mempunyai bekalan air, bahan api dan elektrik bagi tempoh 24 jam sahaja sebelum semuanya habis secara total.
Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menekan pelbagai pihak supaya segera menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza.
Sekiranya bantuan tidak sampai segera di Gaza, para doktor berkemungkinan terpaksa menyediakan ‘sijil mati’ buat pesakit yang kritikal, menurut Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur, Ahmed al-Mandhari.
Semalam menjadi hari ke-11 tentera Israel melancarkan serangan udara bertubi-tubi terhadap Gaza berikutan serangan yang dilancarkan pejuang Hamas ke wilayah Israel pada 7 Oktober lalu.
Kata Ahmed, Gaza ketika ini bertukar menjadi ‘neraka dunia’.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 2,750 rakyat Palestin terbunuh dan 9,700 cedera, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan lebih sejuta penduduk wilayah itu hilang tempat tinggal.
Kehabisan bekalan elektrik menjejaskan banyak perkara, terutamanya pesakit yang memerlukan bantuan mesin perubatan, selain bekalan makanan tidak dapat disimpan di dalam peti sejuk.
Selain itu, aktiviti harian seperti mandi, mencuci baju juga amat mustahil untuk dilakukan sekiranya bekalan elektrik habis.
Malah, para doktor di Gaza menyatakan mereka tidak dapat menguruskan jenazah pesakit dengan aik kerana bekalan elektrik yang terhad.
DIBIARKAN MATI
Semasa serangan udara tentera Zionis menggempur Gaza, WHO merekodkan sebanyak 111 kemudahan kesihatan musnah, 12 petugas perubatan terbunuh dan 60 ambulans dibom, sekali gus mencabuli prinsip kemanusiaa dan undang-undang antarabangsa, tegas Ahmed.
Selain itu, sebanyak 222 hospital di utara Gaza kini merawat lebih 2,000 pesakit, termasuk mereka yang memerlukan mesin bantuan pernafasan, dialisis, wanita hamil dan kanak-kanak.
Wilayah itu juga dilaporkan sudah kehabisan bekalan air bersih dan bekalan bahan api yang semakin terhad menyebabkan elektrik juga boleh putus pada bila-bila masa.
Para doktor di Gaza tahu mereka tiada pilihan, selain ‘menyaksikan seorang demi seorang pesakit mati’.
“Terlalu ramai orang datang ke hospital untuk dapatkan rawatan dan bukan semua menerima rawatan yang sewajarnya ekoran kekurangan bekalan ubatan serta peralatan.
“Pesakit yang kritikal dan tiada bantuan lengkap mungkin terpaksa ‘dibiarkan mati’ dan perkara itu amat menyedihkan,” ujar Ahmed.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bekalan kemanusiaan termasuk ubatan perlu dibawa masuk segera ke Gaza sebelum semuanya terlambat.
KONVOI BANTUAN TUNGGU MASUK RAFAH
Dalam pada itu, semua konvoi bantuan kini menunggu diseberang sempaan dan mereka tidak dibenarkan berada lebih dekat dengan bandar El Arish yang jaraknya 50 kilometer dari lintasan Rafah.
Kaherah sehingga kini tidak membenarkan lintasan itu digunakan untuk membawa keluar warga asing dari Palestin tanpa sebarang bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry menuduh Israel menghalang bantuan tersebut biarpun negara ini sudah banyak kali mendesak supaya bantuan segera disalurkan ke Gaza.
ANGKA KORBAN MENINGKAT
Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 2,808, menurut Kementerian Kesihatan Gaza semalam.
Katanya, sekurang-kurangnya 10,859 rakyat Palestin cedera dalam pengeboman Israel di kawasan pinggir laut, memetik laporan Anadolu.
Selepas 11 hari konflik dengan kumpulan Palestin Hamas, pengeboman dan sekatan Israel di Semenanjung Gaza berterusan, dengan lebih satu juta orang iaitu hampir separuh penduduk Gaza telah dipindahkan, menurut Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Palestin Pelarian di Timur Dekat (UNRWA). – AFP