GAZA CITY: Arahan tentera Israel yang meminta lebih sejuta penduduk Palestin meninggalkan kediaman di utara Gaza dilihat seolah-olah mengulangi peristiwa Nakba yang berlaku pada 1948.
Malah, ramai yang mengecam arahan rejim zionis itu dengan rata-rata penduduk menyifatkannya ibarat pengusiran besar-besaran.
Bagi kebanyakan rakyat Palestin, arahan perpindahan itu mengulangi pengalaman terpaksa dilalui nenek moyang mereka pada 1948 apabila tentera Israel yang baharu dibentuk memusnahkan lebih 500 kampung dan pekan Palestin.
Ketika itu, ribuan orang terbunuh dan lebih 750,000 penduduk Palestin diusir keluar atau meninggalkan kediaman mereka.
Penduduk Palestin merujuk waktu itu sebagai Nakba atau malapetaka.
Lapor Al Jazeera, seorang penduduk kota Gaza meluahkan rasa kekecewaan dan menyifatkan arahan perpindahan Israel itu sebagai penindasan meluas dalam kalangan rakyat.
“Sebelum ini, Israel putuskan bekalan air, makanan dan elektrik, dan kini mereka memaksa kami untuk meninggalkan rumah.
“Kejam hingga kami diperlakukan demikian hanya kerana kami rakyat Palestin yang tinggal di Gaza.
“Ini umpama Nakba kedua. Bagaimanapun, kami memutuskan untuk tidak meninggalkan tanah kami dan akan mempertahankan hak kebebasan, keamanan dan keselamatan kami,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki dari keluarga Gharbawi memaklumkan beberapa ahli keluarganya terbunuh dan cedera semasa dia bersama lebih 20 saudara maranya dalam perjalanan ke selatan Gaza.
“Ramai yang merupakan wanita dan kanak-kanak. Serangan pertama Israel menyasarkan keluarga kami menyebabkan saya jatuh dan tidak sedarkan diri.
“Selepas tersedar, saya melihat beberapa ahli keluarga saya sendiri terbunuh dan cedera di depan mata,” katanya.
Ketika beribu-ribu orang di Gaza meninggalkan kediaman, ramai lagi penduduk yang enggan berbuat demikian.
Orang ramai membanjiri jalanan di beberapa kawasan di Gaza sambil melaungkan slogan dan menegaskan tidak akan meninggalkan kediaman mereka.
Tindakan Israel melancarkan serangan udara ke atas konvoi penduduk yang ke selatan Gaza mengukuhkan lagi sentimen tersebut.
“Sekiranya tentera Israel masih menyerang kami di mana-mana sahaja, jadi mengapa kami harus pergi?
“Kami akan kekal berada di sini, biarlah kami mati di rumah kami,” kata penduduk Gaza bernama Karam Abu Quta.
Terdahulu, tentera Israel mengeluarkan arahan kepada penduduk di utara dan tengah Gaza untuk meninggalkan kediaman mereka segera memandangkan kawasan tersebut kini diklasifikasikan oleh rejim zionis sebagai `zon perang’.
Malah, penduduk berkenaan hanya diberi masa selama 24 jam untuk berpindah ke selatan Gaza.
Tentera Israel juga mengedarkan risalah dan panggilan telefon prarakam mengarahkan penduduk meninggalkan penempatan mereka bagi melancarkan serangan darat yang menyasarkan pejuang Hamas.
Selain penduduk, arahan tentera itu juga dikenakan kepada semua kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mereka yang berlindung di kemudahan PBB termasuk sekolah, pusat kesihatan dan klinik.