GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel yang berterusan di wilayah itu.
Data itu didedahkan oleh Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) dalam satu kenyataan.
Lapor Xinhua, kira-kira 1.6 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka sejak bermulanya konflik berdarah antara Israel dan pejuang Hamas lebih dua minggu lalu.
Menurut OCHA, lebih 544,000 penduduk tinggal di 147 sekolah dan institusi pendidikan kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Jumlah itu termasuk 367,500 penduduk di tengah dan selatan Gaza manakala 70,000 orang lagi berlindung di 67 sekolah bukan kendalian UNRWA.
Berdasarkan kenyataan, kira-kira 101,000 orang berlindung di tempat beribadat dan gereja di Gaza, hospital dan bangunan awam lain.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Sosial Palestin menganggarkan kira-kira 700,000 orang berpindah dengan keluarga tuan rumah.
Menurut kenyataan, institusi yang bergabung dengan Jabatan Operasi Pendidikan UNRWA di wilayah tengah dan selatan Semenanjung Gaza menjadi semakin sesak dan mengalami krisis sumber asas seperti bekalan air, makanan dan ubat-ubatan.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan lebih 4,300 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 13,000 cedera sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas.