Thaksin mungkin bebas selepas empat bulan dipenjara

Thaksin mungkin bebas selepas empat bulan dipenjara

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mungkin akan diberi parol selepas empat bulan menjalani hukuman penjara berikutan beliau merupakan banduan yang sudah berusia, selain menghidap pelbagai penyakit kronik.

Perkara itu disampaikan menerusi sumber di Kementerian Keadilan Thailand yang menyebut, Akta Pemulihan 2007 mewajibkan seseorang banduan melengkapkan sekurang-kurangnya satu per tiga hukuman sebelum layak dipertimbangkan untuk diikat jamin atau diberi parol.

Sebelum ini, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, berkenan mengurangkan tempoh hukuman penjara lapan tahun terhadap Thaksin kepada setahun, menurut warta diraja yang dikeluarkan Jumaat lalu.

Ini bermakna beliau hanya perlu menghabiskan sekurang-kurangnya empat bulan tempoh hukuman sebelum mengemukakan permohonan parol.

Menurut sumber berkenaan, sekiranya permohonan parol Thaksin diluluskan, beliau akan dibawa berjumpa dengan pegawai parol dalam tempoh tiga hari bagi menetapkan tarikh bila beliau perlu melaporkan diri kepada pegawai berkenaan setiap bulan.

Selain itu, pegawai parol juga akan menentukan sama ada Thaksin perlu memakai alat pemantau elektronik untuk mengawal pergerakannya.

Namun, tindakan tersebut mungkin dikecualikan daripada bekas pemimpin itu ekoran beliau mengalami masalah kesihatan.

Permohonan parol Thaksin juga mungkin ‘dipermudahkan’ ekoran beliau pernah berkhidmat sebagai perdana menteri, selain sanggup pulang ke tanah air bagi menghadapi perbicaraan.

Tempoh hukuman Thaksin juga mungkin boleh dikurangkan lagi, sekali gus membolehkannya dibebaskan awal apabila Thailand meraikan acara penting berkaitan institusi diraja, seperti ulang tahun kemangkatan Raja Rama IX pada 13 Oktober atau hari jadinya pada 5 Disember, yang juga disambut sebagai Hari Bapa Kebangsaan.

Thaksin, 74, pulang ke Thailand pada 22 Ogos lalu selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Pada hari sama, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas bekas Perdana Menteri itu atas pertuduhan rasuah.

Pada hari pertama di wad perubatan di Penjara Reman Bangkok, Thaksin dimasukkan ke Hospital Besar Polis kerana masalah kesihatan selepas mengadu mengalami sakit dada, darah tinggi, tahap oksigen dalam darah yang rendah dan insomnia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN