JAKARTA: Sejumlah peniaga di Pasar Tanah Abang, Jakarta Pusat mengadakan protes meminta kerajaan menguatkuasakan undang-undang menutup TikTok Shop kerana menjejaskan perniagaan mereka.
Peniaga-peniaga berkenaan menyampaikan perkara itu kepada Menteri Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Teten Masduki ketika kunjungannya ke Pasar Tanah Abang.
Peniaga, Anton,36, berkata, TikTok Shop sangat merugikan peniaga kerana harga jualan di platform itu jauh lebih murah berbanding di pusat beli-belah dan Pasar Tanah Abang.
Anton turut mengakui sukar untuk mengejar harga seperti yang ditawarkan di TikTok, malah jika ingin menurunkan harga barangannya seperti platform itu, dia tidak akan dapat menampung modal perniagaannya.
“Minta bantuan menteri. Kedai dalam talian TikTok benar-benar memberi kesan kepada peniaga di sini kerana harganya terlalu murah.
“Saya menjual jubah di sini dengan harga 100 ribu rupiah (RMRM30.45) tetapi di TikTok ada yang jual hanya 39 ribu rupiah (RM11.90). Saya keliru kenapa harga di TiKTok Shop terlalu rendah sedangkan jenis kain dan bahan yang digunakan adalah sama.
“Kalau kita jahit sendiri pun masih tidak balik modal rasanya. Tetapi kenapa dalam talian boleh pula dijual sebegitu rendah. Perkara ini sangat tak masuk akal,” katanya dipetik CNN Indonesia.
Seorang lagi peniaga, Anggi,31, turut mengadu hal yang serupa dan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membantu golongan peniaga di pasar itu.
“Perolehan turun 80 peratus hingga 90 peratus. Biasanya saya dapat sekitar 40 juta rupiah (RM12,190) sehari tetapi sekarang nak dapat 1 juta rupiah (RM304) pun begitu susah walaupun sudah menurunkan harga,” katanya.