LONDON: Tinjauan global terbaharu mendapati ramai golongan muda mengakui semakin ragu-ragu dan tidak berpuas hati dengan prestasi sistem demokrasi yang digunakan di banyak negara di seluruh dunia kini.
Menurut kaji selidik antarabangsa utama ke atas 30 negara yang diterbitkan Selasa lalu, 86 peratus responden lebih suka tinggal dalam negara demokrasi dan hanya 20 peratus percaya rejim autoritarian lebih berupaya menyampaikan apa yang rakyat mahukan.
Walau bagaimanapun, hanya 57 peratus responden yang berumur 18 hingga 35 tahun merasakan demokrasi lebih disukai daripada mana-mana bentuk kerajaan lain, berbanding 71 peratus golongan yang berumur lebih 56 tahun.
Lapor The Guardian, lebih 42 peratus daripada golongan muda mengakui menyokong pemerintahan tentera, berbanding hanya 20 peratus responden yang lebih tua.
Laporan oleh rangkaian penderma masyarakat sivil, Open Society Foundations (OSF) yang dibiayai oleh jutawan, George Soros itu juga mendapati, lebih satu pertiga atau sekitar 35 peratus golongan muda merasakan pemimpin yang kuat tidak perlu mengadakan pilihan raya.
Sebaliknya mereka berpendapat, pendekatan berunding dengan Parlimen bagi meneruskan usaha memegang kuasa disifatkan sebagai cara terbaik untuk mentadbir negara.
“Penemuan ini sangat membimbangkan. Orang ramai di seluruh dunia dilihat masih mahu menyokong demokrasi.
“Tetapi kepercayaan itu semakin pudar dalam kalangan generasi muda apabila keraguan semakin meningkat tentang keupayaannya untuk menyampaikan perubahan konkrit kepada kehidupan mereka,” kata Presiden OSF, Mark Malloch Brown.
Undian itu turut mendedahkan sokongan padu terhadap hak asasi manusia, dengan majoriti sehingga 95 peratus di semua wilayah dan setiap peringkat pendapatan bersetuju bahawa menjadi kesalahan bagi kerajaan untuk melanggar hak individu atas alasan penampilan, agama, seksual atau orientasi jantina.